Tindakan pengadil ketika Roma tersungkur 0-2 di Fiorentina dalam Serie A, awal pagi tadi, mencetuskan kemarahan Jose Mourinho yang menuntut penjelasan untuk pelbagai keputusan yang didakwanya tidak memihak Giallorossi.
Sepakan penalti Nicolas Gonzalez dan jaringan Giacomo Bonaventura memastikan Roma rebah dalam kekalahan kedua dalam tiga perlawanan liga terakhir -– sama banyak yang dialami oleh pasukan bimbingan pengendali Portugis itu dalam 17 perlawanan terdahulu -– sekali gus menyaksikan Fiorentina menyamaikan kedudukan Giallorossi untuk perebutan slot Eropah.
Walaupun Roma mengesahkan tempat ke final Liga Persidangan Europa dengan menewaskan Leicester City Jumaat lalu, harapan mereka untuk menamatkan saingan liga dalam kelompok enam teratas terancam selepas kemarau empat kemenangan liga berturut-turut di bawah kendalian Mourinho.
Bagaimanapun, tatkala bekas pengurus Chelsea tersebut mengakui pasukannya kurang menyerlah selepas mengharungi beberapa hari yang meletihkan, dia tetap berang dengan keputusan menghadiahkan sepakan penalti awal itu kepada Fiorentina.
Mourinho menggunakan temu bual selepas perlawanan itu untuk menekankan keputusan Luca Banti terhadap video bantuan pengadil (VAR) dan dia percaya ia merupakan beberapa siri keputusan yang bertentangan dengan Roma.
"Hari ini timbul persoalan berganda atas kekalahan ini. Satu sebabnya ialah selepas perlawanan (Jumaat) lalu kami kurang tenaga daripada segi fizikal dan mental. Kami sedar bakal menentang pasukan yang telah membuat persediaan sepanjang minggu," katanya kepada DAZN.
38 - Fiorentina have gained 38 points at home so far; after 18 home games it is their best result since 2012/13 (40). Franchi.#FiorentinaRoma pic.twitter.com/B4kGQuCHfx
— OptaPaolo ? (@OptaPaolo) May 9, 2022
"Kemudian penjelasan lain yang saya ingin dengar daripada Banti (pengadil) dari Livorno, yang merupakan sebuah bandar yang terletak tidak jauh dari sini. Memang ada sentuhan, tapi ia bukan kekasaran. Kemudian Banti campur tangan. (Maka terjadilah monolog) mari kita bercakap tentang tiga mata hari ini dan mari kita selesaikannya. Selain Banti, Fiorentina sememangnya lebih mantap dan layak (untuk menang).
“Tetapi masalahnya ialah kita bukan hanya bercakap tentang hari ini, kita bercakap tentang Venice, Bologna, banyak episod yang tiada penjelasan.
"Di mana Banti sekarang? Mengapa dia meminta pandangan (pembantu pengadil, Marco) Guida yang berada 10 meter darinya dan melihat bahawa ia bukan satu sepakan penalti? Ini penjelasan yang saya mahukan tetapi tidak dapat.
"Kami akan menghadapi perlawanan akhir Liga Persidangan yang menyerap akan emosi dan tenaga kami. Bukan mudah untuk melupakan apa yang terjadi di Rom. Tetapi kami mempunyai kejohanan untuk direbut dan rintangan buat pasukan ini cukup banyak.
"Saya inginkan penghormatan daripada pihak seperti Banti yang duduk di kerusi mereka tetapi telah menyebabkan kami keciciran banyak mata."