Jose Mourinho sudah mula bernuansa dalam sidang media di Itali pada ketika pengurus AS Roma itu enggan mendedahkan misteri taktikalnya menjelang perlawanan pertamanya dalam Serie A musim ini.

Bekas pengurus Chelsea, Manchester United dan Tottenham itu mendakwa dia sudah mula memikirkan untuk ke Itali sewaktu masih berada dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu kerana kecewa dengan media di England.

Ketika ditanya mengenai pertahanan sayap Roma yang kelihatan bergelut untuk melakukan hantaran lintang efektif ketika berdepan Trabzonspor di peringkat Eropah, Khamis lalu, Mourinho pada awalnya enggan menjawab persoalan itu.

"Saya akan memulakannya dengan satu gurauan," katanya kepada wartawan.

"Di England, saya sentiasa berkata bahawa saya rindukan sidang media di Itali kerana kita sentiasa berbincang mengenai taktikal -- sedangkan mereka hanya mahu bercakap mengenai kontroversi.

"Kini saya sudah kembali ke Itali tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai taktikal kerana anda semua terlalu bagus dalam hal ini."

Mourinho, bagaimanapun, memberikan jawapan sebenarnya dengan mengakui Roma tersilap dalam melakukan beberapa hantaran sambil berkata: "Kami mencuba untuk membina permainan menyerang supaya kami memiliki pelbagai pilihan lain."

Roma memenangi perlawanan Liga Persidangan Eropah (UECL) di Turki dan akan memulakan kempen Serie A dengan menentang Fiorentina awal pagi esok

Mourinho turut mengesahkan Tammy Abraham berkemungkinan akan diturunkan dalam perlawanan itu biarpun penyerang berkenaan masih tidak dapat berlatih bersama rakan sepasukannya sejak tiba daripada Chelsea berikutan protokol kesihatan pandemik koronavirus.

"Dia akan berada bersama skuad kami esok," kata Mourinho seperti yang dipetik daripada laman web rasmi Roma.

"Dia tidak dapat berlatih bersama pasukan kami minggu ini, dia berlatih bersendirian kerana itu adalah ketetapan ketika ini. Tetapi dia menyertai pramusim di Chelsea, dia beraksi dalam perlawanan yang agak baik dengan mereka dan saya fikir secara fizikalnya, ia sudah bersedia."