AS ROMA 2 SASSUOLO 1

Jose Mourinho berkata dia akan mengingati kemenangan saat akhir AS Roma ke atas Sassuolo selepas meraikan perlawanannya yang ke-1,000 dengan cara tersendiri awal pagi tadi.

Perlawanan bersejarah Mourinho itu berakhir dengan nota kegembiraan apabila El Shaarawy menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91 dan ketua jurulatih Roma berkenaan memilih untuk meraikan kemenangan dramatik 2-1 itu bersama penyokong Giallorossi.

Bekas pengendali Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid, Manchester United dan Tottenham itu telah memenangi 638 perlawanan dalam kesemua kejohanan sepanjang karier kejurulatihannya dengan 64 peratus kemenangan dan 25 gelaran secara keseluruhan.

Selepas membawa Roma memperoleh tiga kemenangan daripada tiga perlawanan pertama musim ini untuk menduduki tangga teratas Serie A, jurulatih berusia 58 tahun itu jelas menikmati perlawanan bersejarah berkenaan.

"Kerana sepanjang minggu ini, saya telah menipu semua orang dengan berkata tiada apa yang istimewa mengenai perlawanan ini -- mungkin juga saya hanya mahu meyakinkan diri saya seperti itu," kata Mourinho, yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih Roma musim ini.

"Tetapi ia sebenarnya istimewa -- perlawanan ini benar-benar mempunyai makna yang istimewa buat saya. Dan saya pasti saya akan mengingatinya sepanjang hidup saya kerana ini adalah perlawanan ke-1,000 saya sebagai jurulatih.

"Saya tidak mahu kalah dalam perlawanan ini dan saya amat takut sekiranya ia akan menjadi memori yang sukar dilupakan dengan cara seperti itu.

"Jadi, saya menipu dengan semua orang sebelum ini. Ia sememangnya memberikan perasaan yang amat-amat istimewa," katanya.

Mourinho -- yang pernah memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga, Serie A dan Liga Primeira sebagai sebahagian daripada keseluruhan kejayaan gemilangnya selaku jurulatih -- menambah: "Perlawanan hari ini mungkin berakhir 6-6 atau 7-7, mereka juga boleh menang 2-1 atau apa-apa seperti itu

"Pada minit-minit terakhir, Rui Patricio melakukan dua atau tiga aksi menyelamat hebat dan kami terlepas dua atau tiga peluang ketika gawang terbuka.

"Ia perlawanan yang hebat buat pemerhati bebas dan perlawanan yang luar biasa dengan banyak emosi bersamanya.

"Hari ini, saya tidak kelihatan seperti 58 tahun, saya seperti budak berumur 10, 12 atau 14 tahun, di mana anda mula memasang impian berkenaan karier anda dalam bola sepak. Berlari seperti yang saya lakukan (di tepi padang), saya berlari seperti seorang budak. Dan saya memohon maaf kepada (jurulatih Sassuolo, Alessio) Dionisi kerana berkelakuan seperti itu.

"Saya mengucapkan tahniah kepadanya, mereka bermain dengan amat baik. Malam ini kami menang tetapi jika mereka yang memenanginya, saya tidak boleh merungut," katanya.

Ia merupakan kali pertama sepanjang karier gemilang Mourinho dia dapat memenangi lima perlawanan pertama bersama sesebuah kelab.

Roma, dalam pada itu, memenangi enam perlawanan beruturut-turut di laman sendiri dalam kesemua kejohanan buat kali pertama sejak Disember 2017.