Jose Mourinho berkata dia dapat melihat kehebatan AS Roma ketika tewas 0-1 kepada Juventus awal pagi tadi dan yakin pasukannya sedang menuju ke landasan tepat di sebalik kekalahan itu.

Moise Kean menjaringkan gol tunggal di Stadium Juventus, di mana tandukan awal Rodrigo Bentancur terbias ke kepala penyerang itu sebelum menuju ke gawang gol Roma dalam babak pertama -- sepakan penalti Jordan Veretout turut diselamatkan penjaga gol Bianconerri, Wojciech Szczesny.

Roma menghasilkan 15 percubaan berbanding enam yang dilakukan Juve selain menguasai 52.1 peratus permainan tetapi tidak dapat menembusi kekentalan pertahanan lawan itu di Turin.

Ketua jurulatih Giallorossi, Mourinho, percaya pasukannya sudah melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu dan gembira dengan perkembangan Roma di bawah kendaliannya.

"Saya hanya boleh katakan yang saya dapat melihat kehebatan Roma hari ini. Itulah yang saya katakan kepada pemain saya di dalam bilik persalinan," kata Mourinho kepada DAZN.

"Amat jelas, kita sedang bercakap tentang kekalahan ini dan tiada mata buat kami tetapi apa yang saya boleh katakan, ini adalah kehebatan Roma dalam setiap aspek. Tahniah atas permainan tersusun, kerja keras daripada semua yang beraksi walaupun berdepan kesukaran daripada segi fizikal, kehilangan pemain disebabkan waktu rehat antarabangsa.

"Saya dapat melihat semangat, keyakinan, kepercayaannya. Amat jelas, kekalahan tetap satu kekalahan tetapi jika kita melihat kepada projek ini, ia bermakna kita sedang melihat perkembangan pasukan ini dari semasa ke semasa.

"Saya mungkin melihatnya berbeza dengan anda. Saya dapat lihat pasukan ini lebih layak menang tetapi pada akhirnya tewas. Itulah bola sepak.

"Semua perkataan yang saya dengar daripada pemain Juventus ketika di dalam terowong dan bilik persalinan, saya harap mereka dapat mendedahkannya kepada umum. Mereka tahu betapa mereka bergelut dalam perlawanan ini," katanya.