Ketua jurulatih AS Roma, Jose Mourinho, berang dengan prestasi pasukannya dan keputusan pengadil dalam kekalahan 1-3 kepada AC Milan di San Siro awal pagi tadi.

Dalam aksi Serie A itu, Roma ketinggalan 2-0 pada 15 minit pertama dan mereka juga terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada penghujung permainan susulan layangan kad merah buat Rick Karsdorp dan Gianluca Mancini.

Maurinho, dalam pada kecewa dengan cara permainan Roma, turut menyalahkan keputusan pengadil memberikan dua sepakan penalti buat Milan -- yang pertama disudahkan Olivier Giroud sebelum sepakan penalti kedua yang diambil Zlatan Ibrahimovic diselamatkan Rui Patricio.

"Kualiti persembahan kami tidak bagus. Kami memberikan bola kepada lawan dengan terlalu mudah, tahap prestasi kami amat rendah tetapi kami masih berada dalam permainan (sehingga Karsdorp dibuang padang).

"Tetapi jika bercakap mengenai kesilapan yang kami lakukan, kita juga perlu bercakap mengenai pengadil dan VAR (video bantuan pengadil).

"Saya tidak dapat melihat sebarang gambaran bahawa sepakan penalti yang diberikan kepada Milan dalam babak pertama itu sepatutnya sepakan penalti. Saya tidak dapat membayangkannya.

"Jika anda dapat lihat, Tammy (Abraham) menggerakkan lengannya tetapi anda tidak dapat lihat ia bersentuhan dengan bola.

"(Gianluca) Aureliano (pengadil VAR) sepatutnya berada di rumah tetapi dia mahu berada di sini dan kerana itu dialah yang menghentikan perlawanan," kata Mourinho.

Mourinho bertambah kecewa apabila permintaan Nicolo Zaniolo dan Roger Ibanez untuk mendapatkan sepakan penalti buat pasukannya dalam babak kedua diabaikan pengadil.

"Kami hanya mahukan keputusan yang konsisten. Seperti yang saya katakan, kami beraksi buruk tetapi daripada segi pengadilan, kami sentiasa bernasib malang," katanya lagi.