Lucas Moura kekal sebahagian yang penting dalam perancangan Tottenham musim depan walaupun terdapat desas-desus pemain kebangsaan Brazil itu akan ke Everton sebagai syarat pertukaran untuk mendapatkan Richarlison.

Mesej itu disuarakan sendiri ejen Moura, Junior Pedroso, selepas penyerang itu mendedahkan bahawa musim 2022-23 mungkin akan menjadi kempen terakhirnya bersama Spurs.

Peranan Moura di bawah bimbingan Antonio Conte musim ini kelihatan terbatas sejak ketibaan Dejan Kulusevski pada Januari lalu dan Tottenham kini dilaporkan berminat untuk mendapatkan Raphinha dan Richarlison untuk memperkuatkan jentera serangan mereka.

Conte membawa masuk Yves Bissouma, Ivan Perisic dan penjaga gol sokongan, Fraser Forster, dalam membina skuad besarnya yang akan menghadapi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim baru ini.

Moura sebelum ini turut meluahkan keterujaannya untuk bersaing dalam UCL bersama Conte dan Pedroso menegaskan bahawa pemainnya itu akan kekal sebagai watak penting dalam perancangan Spurs.

"Tottenham masih meletakkan harapan kepada Lucas musim depan.

"Mereka melihatnya sebagai tonggak penting bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah," katanya kepada Globo Esporte.