Steve Mounie berkata dia akan mengambil gambar kedudukan Liga Perdana Inggeris selepas dua golnya membantu pendatang baru, Huddersfield Town, melonjak ke persada liga dengan kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace, malam tadi.

Huddersfield memulakan aksi sulung dalam Liga Perdana Inggeris dengan berkunjung ke Selhurst Park selepas berjaya melayakkan diri menerusi play-off Liga Kejuaraan pada penghujung musim lalu.

Jaringan gol sendiri Joel Ward meletakkan pasukan pelawat itu di depan seawal minit ke-23.

Bekas penyerang Montpellier, Mounie, menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit kemudian dengan tandukan kemas sebelum melengkapkan gol ketiga dalam babak kedua hasil hantaran Collin Quaner.

"Permulaan yang mengagumkan, apatah lagi meledak dua gol dalam penampilan pertama saya. Kami menang aksi pertama dan ini mengejutkan kami dan penyokong di Huddersfield," kata Mounie.

"Kami berkerja keras setiap hari ketika aksi pra-musim, jurulatih turut memberikan kami nasihat yang banyak. Ini adalah hasil kerja keras kami.

"Menduduki kedudukan pertama liga memang tidak dapat dibayangkan, saya akan mengambil gambar selepas ini."

Pengendali Huddersfield, David Wagner, turut memuji Mounie lalu berkata:"Tiada hari yang lebih baik seperti ini bagi seorang pemain penyerang, dia menjaringkan dua gol yang cantik. Kerana itulah, kami mendapatkan khidmatnya.

"Kami bermula dengan baik. Jonas Lossl beraksi mantap di gawang. Kami layak mendapat kemenangan ini."

Sementara itu, kemenangan tersebut meranapkan penampilan pertama Frank de Boer di pentas Liga Perdana Inggeris selaku pengurus.

"Jika kamu menganalisis perlawanan, ia agak mudah difahami. Kami bermula baik dalam tempoh 10 minit pertama dan kemudian perlawanan berubah. Pemain gagal melaksanakan taktikal yang telah dibincangkan lebih awal.

"Beberapa kali kami berpeluang menjadikan kedudukan 2-1. Jika itu berlaku, kami sekurang-kurangnya dapat mengutip satu mata."