Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, mendedahkan Alvaro Morata telah meminta untuk dilepaskan pasukan itu sejak bulan lalu.

Morata memaparkan aksi yang kurang menyerlah di bawah kendalian Sarri dengan penyerang kebangsaan Sepanyol itu hanya menjaringkan lima gol dalam 16 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Sarri lebih cenderung untuk meletakkan Eden Hazard di posisi nombor sembilan dan kemasukan Gonzalo Higuain menerusi pinjaman daripada Juventus turut dilihat bakal mengisi posisi penyerang The Blues.

Morata sebelum ini disifatkan Sarri sebagai seorang pemain yang tidak memiliki kekuatan mental dan dikhabarkan akan kembali ke Sepanyol untuk menyertai Atletico Madrid.

Sarri juga pernah menjelaskan kemasukan Higuain ke dalam pasukannya disebabkan masalah yang ditimbulkan Morata memandangkan penyerang Argentina itu pernah menjaringkan 36 gol dalam Serie A sewaktu mewakili Napoli yang turut dikendalikan Sarri pada musim 2015-16.

"Kami mempunyai masalah dalam menjaringkan gol dan Higuain kebiasaannya akan menjaringkan 25 hingga 30 gol semusim.

"Namun, seperti yang saya katakan sebelum ini, amat sukar untuk mendapatkan penyerang terbaik dalam jendela perpindahan Januari.

"Pembelian Higuain berlaku ketika kami cuba untuk mendapatkannya dan ia terjadi.

"Saya berasakan Morata seorang pemain yang baik.

"Dia mempunyai perwatakan untuk bermain bersama pasukan saya.

"Namun, dia meminta untuk berpindah bulan lalu.

"Hasrat itu menyukarkannya untuk memberikan tumpuan 100 peratus kepada pasukan.

"Bagaimanapun, saya berasakan dia masih berpotensi untuk menjadi pemain penting.

"Berdasarkan kelebihan fizikal dan teknikal, dia merupakan pemain yang sesuai dalam pasukan ini.

"Namun, situasi itu berubah bulan lalu, jadi kami perlukan perubahan," katanya.