Harapan untuk melihat anak didik Hassan Sazali Waras menebus kekalahan semasa peringkat kumpulan kepada Laos B-19 akhirnya tercapai apabila skuad Malaysia B-19 berjaya menewaskan skuad kendalian Michael Weiss itu dalam perlawanan akhir yang sungguh mendebarkan.

Skuad muda negara telah menunjukkan aksi yang konsisten dari awal permainan sehingga tiupan wisel penamat dibunyikan. Mereka tidak rasa kekok atau gementar sebaliknya telah menunjukkan keyakinan diri yang tinggi walaupun bermain dalam perlawanan akhir.

Ini dibuktikan melalui jaringan awal oleh Faiz Amer Runnizer dan jaringan kedua Aliff Izwan Yuslan dalam separuh masa kedua. Dengan perancangan serta strategi yang begitu rapi diilhamkan Hassan Sazali Waras dan pasukan kejurulatihannya, itu telah berjaya mematikan setiap gerakkan lawan.

Menggekalkan disiplin yang tinggi ketika bertahan dan menyerang telah memberi kelebihan pada skuad muda negara. Mereka juga bermain dengan hantaran-hantaran pendek serta transisi pantas untuk memerangkap lawan.

Apa yang lebih menarik perhatian penulis sebenarnya adalah bagaimana mereka begitu selesa dengan bola dan memahami taktikal dengan baik sekali.

Mereka juga berjaya menjelmakan indentiti bola sepak Malaysia dengan falsafah bola sepak yang diinginkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Inilah hasilnya apabila adanya Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di peringkat akar umbi dan wujudnya Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) telah banyak membantu membangunkan mutu bola sepak negara kerana boleh dikatakan semua pemain-pemain Malaysia B-19 lahir dari program NFDP dan AMD.

Sebagai peminat kita perlu yakin dengan kebolehan pemain-pemain muda ini dan perlu terus menyokong mereka baik ketika menang ataupun kalah kerana dengan sokongan itu akan terus memberi semangat kepada pemain-pemain muda ini untuk bangkit dan menjulang nama Malaysia.

Bagi Hassan Sazali Waras dan rakan kejurulatihan beliau, penulis mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan yang dicipta skuad muda ini di kejohanan Piala AFF B-19.

Kepada pemain-pemain muda negara, nikmatilah kejayaan ini dan jadikannya sebagai pemangkin untuk terus majukan diri.