AC Milan mengulangi pencapaian yang kali terakhir dicapai kelab itu lebih 50 tahun lalu dengan menewaskan Celtic 3-1 dalam perlawanan Liga Europa di Glasgow awal pagi tadi.

Skuad kendalian Stefano Pioli itu, yang tidak tewas dalam 21 perlawanan -- rekod terbaik mereka sejak 1996 -- kini telah menjaringkan dua atau lebih gol dalam 10 perlawanan berturut-turut.

Opta mendedahkan bahawa kali terakhir Milan melakukan perkara yang sama adalah pada Disember 1964.

Pencapaian kali ini bermula ketika mereka menewaskan Sampdoria 4-1 pada 29 Julai lalu dan meneruskannya tiga hari kemudian dengan kemenangan 3-0 ke atas Cagliari dalam perlawanan Serie A terakhir musim 2019-20.

Milan memulakan kempen baru mereka dengan menewaskan Shamrock Rovers 2-0 dalam pusingan kelayakan Liga Europa sebelum menumbangkan Bodo/Glimt 3-2 dan mengungguli penentuan sepakan penalti 9-8 ke atas Rio Ave selepas perlawanan terikat 2-2 untuk mengesahkan tempat dalam peringkat kumpulan, di mana Celtic merupakan lawan pertama mereka.

Milan kini berada di puncak Serie A hasil empat kemenangan -- menewaskan Bologna dan Crotone 2-0 sebelum membelasah Spezia 3-0 dan mengatasi Inter Milan 2-1 dalam pertemuan 'derby' Sabtu lalu.

Mereka kini berharap sejarah buruk tahun 1964 tidak berulang di mana mereka meraih rekod jaringan yang sama dan mendahului carta Serie A tetapi dipintas Inter pada minggu terakhir.