FIORENTINA 2 MILAN 3

Stefano Pioli mengakui Milan terpaksa menggunakan segala sumber yang ada apabila bangkit mengecewakan Fiorentina 3-2 dalam pertembungan Serie A, awal pagi tadi.


Hakan Calhanoglu memastikan kemenangan mereka ketika permainan berbaki 18 minit untuk Rossoneri terus menghambat pendahulu, Inter, dengan enam mata selepas jiran mereka itu memiliki kelebihan satu perlawanan kerana aksi berdepan Sassuolo hujung minggu ini dibatalkan berikutan penularan COVID-19 di kelab itu.

Keputusan positif itu bermakna Milan menyamai rekod 12 kemenangan di tempat lawan dalam semusim sekali gus mengakhiri kemarau kemenangan tiga perlawanan.

Ia termasuk kekalahan dalam pusingan 16 Liga Europa kepada Manchester United, Jumaat lalu, dan Pioli mengakui pasukannya perlu mengerah segala kudrat untuk bangkit daripada kekecewaan itu.

"Ini adalah satu perlawanan yang paling sulit selepas kami dikecewakan dalam Liga Europa," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami beraksi setiap tiga hari selama berbulan-bulan lalu dan kami sedar memerlukan segala sumber yang ada untuk dimanfaatkan."



Zlatan Ibrahimovic terlebih dahulu meletakkan Milan di depan untuk muncul pemain tertua -- berusia 39 tahun dan 169 hari -- yang mencapai 15 gol Serie A dan sejurus perlawanan beraksi, penyerang itu menegaskan mereka masih dalam pemburuan gelaran.

Pioli bersetuju dengan kenyataan pemain veteran Sweden itu sambil mengatakan Milan akan melakukan segala yang terdaya untuk menyekat kejayaan Inter.

"Apa yang Ibra katakan tentang Scudetto adalah tepat kerana kami sentiasa memberi saingan sepanjang musim ini," tambahnya.

"Kedudukan kami tidak begitu jauh ketika ini dan kami mempunyai kualiti untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan. Sama ada kami mampu merealisasikannya adalah perkara yang berbeza tetapi kami pasti boleh mencuba.

"Sudah tentu, kami memulakan musim ini dengan objektif yang sangat berbeza kerana kami ingin berada di kelompok empat teratas.

"Kini kami ada di kedudukan itu dan kami ingin menjadikannya sesuatu yang positif hingga hujung musim ini. Saya sering mengatakan bahawa akan ada empat pasukan yang sangat gembira pada akhir musim ini sementara tiga lagi tidak."

Pioli juga menekankan sumbangan Ismael Bennacer sejurus dimasukkan untuk menggantikan Sandro Tonali sebelum sejam usia permainan.

Pemain antarabangsa Algeria itu melengkapkan 30 daripada 31 hantaran selain menikmati kadar hantaran di kawasan lawan sebanyak 95.2 peratus.

"Saya setuju bahawa walaupun Tonali dan Soualiho Meite beraksi dengan baik, Isma pula sebaliknya mempunyai beberapa ciri khusus yang berfungsi dengan baik dalam sistem kami," katanya lagi.

"Dia akan menyertai pasukan antarabangsa dan mudah-mudahan mendapat berpeluang beraksi, seterusnya memberi impak besar kepada kami dalam tekanan terakhir musim ini."

Aksi Milan seterusnya adalah di kandang Sampdoria pada 3 April.