Penjaga gol AC Milan, Mike Maignan, akan direhatkan selama 10 minggu selepas menjalani pembedahan pergelangan tangan kiri.

Pasukan gergasi Serie A itu menandatangani Maignan daripada Lille pada Mei lalu dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai €15 juta (RM72.36 juta) bagi menggantikan Gianluigi Donnarumma, yang menyertai Paris Saint-Germain (PSG) secara perpindahan percuma.

Pemain kebangsaan Perancis itu memulakan musim ini dengan prestasi terbaiknya, di mana dia tersenarai sebagai kesebelasan utama Stefano Pioli -- yang mengumpulkan 19 mata daripada tujuh aksi Serie A pertama -- dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun, penjaga gol berusia 25 tahun itu cedera pergelangan tangan ketika menentang Liverpool pada 15 September lalu dan keadaannya semakin melarat 13 hari kemudian gara-gara pertembungan dengan pemain Atletico Madrid, Luis Suarez

Milan mengumumkan semalam bahawa Maignan telah menjalani pembedahan dan akan berehat selama enam minggu sebelum memulakan proses pemulihannya. Dia dijangka akan dapat kembali beraksi seawal-awalnya pada Disember depan.

Dengan berpotensi untuk tidak dapat diturunkan selama 10 minggu, ia bermakna dia akan terlepas kesemua baki perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selain pertemuan penting dalam liga domestik menentang AS Roma, Inter Milan dan Napoli.

Berita itu menyaksikan Milan mungkin menandatangani penjaga gol berusia 38 tahun, Antonio Mirante, yang sedang dalam status ejen bebas, sehingga penghujung musim ini sambil Ciprian Tatarunasi merupakan satu-satunya pilihan yang Pioli ada sehingga Januari depan.

Dalam pada itu, pertahanan Milan, Theo Fernandez, diuji positif COVID-19 selepas kembali daripada tugasan antarabangsa bersama Perancis dan ia bermakna, Milan tidak memiliki pertahanan kiri menjelang pertemuan dengan Hellas Verona hujung minggu ini.