AC Milan bakal beraksi tanpa Samu Castillejo tatkala mereka akan bertandang ke Lazio yang tidak dapat menurunkan Felipe Caicedo dan Ciro Immobile akibat penggantungan.

Castillejo mengalami kecederaan paha ketika Milan diikat SPAL 2-2, Rabu lalu dan bakal menjalani proses imbasan pada minggu ini sekali gus bermakna pemain sayap Sepanyol itu akan terlepas pertemuan dengan Juventus di laman sendiri.

Ketiadaannya jelas memberi tamparan buat pengendali Milan, Stefano Pioli, selepas anak buahnya mencicirkan dua mata ketika berdepan skuad yang bergelut dengan zon penyingkiran.

Untuk aksi di Stadio Olimpico, Lazio juga terpaksa menerima hakkikat, beraksi tanpa dua penjaring terbanyak, Immobile dan Caicedo.

Namun, Pioli tetap berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan Joaquin Correa, pemain yang menjaringkan gol kemenangan sewaktu Lazio menang 2-1 pada minit-minit akhir permainan, November lalu.

"Lazio sangat kuat, mereka bangkit dalam dua perlawanan," kata Pioli.

"Immobile dan Caicedo akan dirindui tetapi mereka memiliki Correa. Ia akan jadi aksi yang kompleks terutama daripada percaturan.

"Kami berbeza berbanding pasukna sebelum ini. Banyak perkara telah berubah. Kami perlu tampil lebih tersusun, bijak dan memahami detik penting perlawanan.

"Lazio adalah pasukan lengkap. Mereka kuat tetapi kami juga mempunyai keyakinan dalam diri sendiri."