Stefano Pioli menegaskan pertembungan di antara Inter dengan Napoli bukanlah penentu dalam perlumbaan kejuaraan Serie A, sebaliknya fokusnya hanya kekal terhadap Milan.

Juara bertahan itu akan menyambung semula perjuangan musim ini dengan lapan mata di belakang Napoli sambil mengharapkan bantuan daripada musuh setempat mereka tersebut untuk menyekat pendahulu liga berkenaan di San Siro, awal pagi esok.

Begitupun, pengurus itu berkata Milan harus fokus kepada persembahan sendiri selepas rehat Piala Dunia.

"Kami tidak perlu berlumba dengan sesiapa selain diri sendiri. Untuk memenangi kejuaraan, anda memerlukan lebih daripada 85 mata," katanya dalam sidang media menjelang pertembungan menentang Salernitana.





"Kami mempunyai peluang untuk melakukan lebih baik dari tahun lepas tetapi kami perlu berusaha keras.

"Adalah tepat untuk tidak memikirkan terlalu jauh, sebaliknya fokus tentang hari esok apabila kami bakal berdepan sokongan padu dan sukar oleh pihak lawan: itu yang perlu kami mulakan dengan baik.

"Ya penting (perlawanan di antara Inter dan Napoli) tapi ia bukan penentu.

"Kami tidak memikirkan tentang perlawanan lain. Mari fokus kepada tugas kami sendiri, kemudian lihat hasilnya. Kami akan turun terlebih dahulu, apa yang penting ialah perlumbaan kami sendiri merebut gelaran."