Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, tetap berbangga dengan pemainnya walaupun pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tumbang 0-1 kepada Everton, malam tadi.

Kekalahan kedua liga musim ini terhasil melalui tandukan James Tarkowski dalam separuh masa kedua di Goodison Park selepas mereka tumpas ketika bertandang ke Old Trafford, September lalu.

Keputusan itu bermakna Manchester City berpeluang memotong kelebihan The Gunners di puncak liga kepada hanya dua mata sekiranya menang ke atas Tottenham, tengah malam esok, walaupun pasukan London berkenaan berkelebihan satu perlawanan lagi di dalam tangan.

Arteta -- yang muncul sebagai pengurus Arsenal pertama yang mempunyai badi dalam ketiga-tiga perlawanan bertemu The Toffees -- merungut ketidakupayaan pasukannya menangani corak permainan fizikal Everton, tetapi berharap ia akan bertindak sebagai pengajaran penting untuk baki musim ini.






"Kami menguasai bola dan kami menjana banyak peluang, tetapi kami tidak mempunyai arah tujuan dan kualiti di sepertiga akhir kawasan lawan," katanya kepada BT Sport.




“Kemudian kami dibolosi dan mereka memperlahankan tempo permainan jadi kami bergelut.

"Mereka melakukan ini kepada setiap pasukan. Fizikal merupakan sumber kekuatan mereka. Jika anda mahu menguasai perlawanan ketika menentang mereka, anda perlu menguasai aspek ini. Tapi kami tidak terdaya.

"Kami memerlukan lebih ketenangan bagi mengawal permainan dengan lebih baik daripada segi emosi. Kami menghadiahkan begitu banyak sepakan percuma yang tidak sepatutnya dan itulah yang mereka mahukan.

"Hari ini saya menyayangi mereka lebih baik berbanding minggu sebelumnya atau sebulan yang lalu. Adalah mudah untuk menyebelahi mereka selepas mereka memenangi perlawanan terdahulu dengan baik.

"Saya masih sangat berbangga dengan semua pemain ini, mereka berhak untuk dibanggakan.

"Keputusan ini tidak akan mencerahkan laluan kami. Ia akan menjadi rumit dan kami perlu berusaha lebih keras lagi dan tampil dengan lebih baik daripada apa yang kami lakukan hari ini."

Arsenal berharap untuk kembali ke landasan kemenangan ketika menentang Brentford pada Sabtu depan sebelum pertembungan getir dengan City, empat hari kemudian.