Berita baik buat peminat bola sepak negara apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa penonton akan kembali dibenarkan ke stadium dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan bermula esok.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terhad kepada 10 hingga 15 peratus kapasiti sebenar venue yang terlibat dan perlu mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) kesihatan bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata: "Sebenarnya ia sudah dibenarkan cuma daripada segi pentadbiran KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MFL sendiri, kami mahu memastikan kebenaran penonton ke stadium ini berjalan dengan baik, jadi kami perlu mengadakan dua simulasi di Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Cheras."

Ab Ghani menambah, selepas dua simulasi kehadiran penonton dilakukan di Stadium Cheras dan Stadium Sultan Ibrahim minggu lalu, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki berdasarkan pemantauan KBS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kelemahannya berdasarkan laporan pihak pemantau di stadium adalah tiada penjarakan sosial ketika penonton keluar dari Stadium.

"Ia telah segera dipantau oleh petugas-petugas di stadium dan Alhamdulillah, ia dapat dilakukan dengan baik.

"Itulah perkara yang dibangkitkan pemantau agar ia diambil berat dan diberikan perhatian di stadium-stadium lain selepas ini," katanya lagi.