Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, menafikan terdapat sebarang layanan istimewa buat Melaka United FC walaupun saban tahun dipalit dengan masalah tunggakan gaji pemain.

Di sebalik respons ringkas yang diberikan kelab itu mengenai dakwaan berkenaan semalam, masih belum ada sebarang komunikasi di antara pihak pengurusan dan pemain yang terjejas meskipun tarikh akhir yang ditetapkan hanya berbaki kurang sebulan.

Melaka United perlu melaksanakan dua ketetapan menjelang hujung bulan ini, sama ada resit pembayaran lengkap atau perjanjian persetujuan daripada pemain untuk pembayaran secara ansuran sebelum dikenakan larangan perpindahan pemain pada 1 Ferburari ini.

Stuart, dalam pada itu, mengakui pihaknya masih belum menerima sebarang perkembangan daripada Melaka United.



"Mereka mempunyai tempoh sehingga 30 Januari ini untuk menyerahkan resit bayaran atau persetujuan bersama. Hanya dua perkara itu dapat menyelesaikan masalah mereka," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Saya tidak akan melayani janji sebelah pihak sahaja, ia memerlukan persetujuan kedua-dua pihak atau bayaran penuh.

"Hanya dua perkara itu akan didaftarkan sebagai penyerahan."

Kekerapan Melaka United terlibat dengan masalah tunggakan gaji dan masih dibenarkan bersaing dalam Liga Malaysia membuatkan pasukan itu terlihat seperti 'anak emas' MFL tetapi Stuart lantas menafikan perkara itu.

"Jika Melaka anak emas MFL atau FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya tidak fikir mereka akan dikenakan pemotongan mata sepanjang dua musim terakhir.

"MFL tidak pernah memberikan sebarang ruang buat kelab tanpa tandatangan yang dipersetujui pemain.

"Jadi, ini juga perlu dijadikan persoalan buat pemain dalam pasukan itu dan bukan hanya buat MFL.

"MFL tiada kuasa seandainya pemain dan pasukan bersetuju untuk pembayaran itu diselesaikan pada Februari atau Mac depan," katanya lagi.