Lionel Messi telah bersetuju untuk menyambung kontrak selama lima tahun dengan Barcelona selepas menerima pengurangan sebahagian besar gajinya, demikian dilaporkan media-media antarabangsa.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu bergelar ejen bebas sejak kontrak asalnya tamat pada 30 Jun lalu di Camp Nou, tempat di mana dia mengabdikan keseluruhan karier seniornya.

Bagaimanapun, selepas berbulan-bulan bermain dengan spekulasi perpindahan pemain itu, akhbar Catalan, L'Esportiu dan Sport, melaporkan malam tadi bahawa pemain berusia 34 tahun itu telah bersetuju dengan satu kesepakatan baru untuk kekal bersama kelab itu.

Satu pengumuman dijangka akan dilakukan hari ini sebaik kontrak itu ditandatangani secara rasmi.

Laporan yang sama turut mendedahkan bahawa Messi telah bersetuju dengan pengurangan gaji, yang mungkin sehingga 50 peratus daripada kontrak asal yang sebelum ini ditandatanganinya pada 2017.

Kontrak lima tahun itu juga akan mengikat Messi bersama kelab itu sehingga usianya mencecah 39 tahun.