Andai Lionel Messi sering diperbanding dengan legenda Diego Maradona, ia tidak pun keterlaluan. Foto ini menjadi buktinya.

Mengetuai barisan Argentina dalam saingan kelayakan Piala Dunia di Buenos Aires semalam, Messi mengimbau ingatan kepada ketaksuban terhadap Diego, pada satu detik memukau yang menyaksikan sehingga enam pemain Uruguay mengepungnya.





Ia persis imej ikonik Maradona yang berhadapan enam pemain Belgium dalam aksi pusingan akhir Piala Dunia pada 14 Jun 1982 di Camp Nou seperti yang disorot oleh akhbar British, The Sun.

Berbanding perlawanan pertama Kumpulan C itu yang menyaksikan kekalahan 0-1 Argentina kepada jaringan Erwin Vandenbergh, aksi Messi itu pula membuka laluan kepada jaringan Lautaro Martinez bagi memuktamadkan kemenangan 3-0 yang menghampirkan La Albiceleste ke temasya Qatar 2022.




Argentina kini sudah menghimpun 22 mata dengan rentetan tanpa kalah selepas 10 perlawanan untuk mengisi tangga kedua pusingan kelayakan Amerika Selatan, enam mata di belakang Brazil.

Ecuador menyusul di tangga ketiga dengan 16 mata, mengatasi Uruguay hanya dengan kelebihan jumlah kemenangan. Ini dituruti Colombia di tangga kelima dengan 15 mata – dengan ketiga-tiga pasukan sudah beraksi 11 perlawanan.

Empat pasukan teratas mendapat kelayakan automatik ke Qatar tahun depan manakala pasukan di tangga kelima masih boleh turut serta melalui aksi play-off.

Bebalik kepada Messi.





Menerima bola dalam kawasan penalti Uruguay pada minit ke-61 itu, Messi menarik tumpuan sekumpulan pemain pelawat terhadapnya, lantas berundur semula ke luar petak bagi membuka ruang.

Dengan pemain-pemain lawan menghampirinya, dia mara sedikit lagi sebelum melintangkan hantaran ke bahagian sayap kanan kepada Rodrigo De Paul, yang hantaran rendahnya mudah ditolak masuk Lautaro Martinez ke pintu gol yang ternganga.

Terdahulu, pada minit ke-38, Messi mencipta keajaiban – yang harus dibantu sedikit tuah – di Estadio Monumental Antonio Vespucio Liberti itu.

Satu sungkitannya dari jarak kira-kira 25 meter melepasi tonjolan kaki rakan sepasukan, Nicolas Gonzalez, di depan gol dan melantun menewaskan penjaga gol, Fernando Muslera, untuk Argentina berada 1-0 di depan.



Ia adalah jaringannya yang ke-80 daripada 156 penampilan buat La Albiceleste, yang menjulangnya selaku penjaring terbanyak Amerika Selatan, termasuk mengatasi rekod Pele dan Ronaldo (Luís Nazario de Lima).

Malah, Messi lebih dahulu memecahkan rekod itu bulan lalu apabila mengatasi catatan 77 gol Pele hasil hatriknya dalam saingan kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia di El Monumental pada 10 September.

Harus tidak syak lagi aksi-aksi Messi bersama Argentina, termasuk menjuarai Copa America dengan kemenangan 1-0 ke atas Brazil di Stadium Maracana pada 11 Julai lalu, sekadar menguatkan tuntutannya terhadap anugerah Ballon d'Or buat kali ketujuh.

Saingan dijangkakan daripada pemain antarabangsa Itali, Jorginho (pemenang Liga Juara-Juara dan Euro 2021) dan penggempur Perancis, Karim Benzema (pemenang Liga Negara-Negara) tapi dengan prestasi terkini, sukar untuk undi-undi tidak memihak kepadanya.