Mauricio Pochettino mengakui hilang kata-kata untuk menggambarkan Lionel Messi tetapi memaklumkan bahawa pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu dapat segera menyesuaikan diri di Paris Saint-Germain (PSG) menjelang penampilan pertamanya bersama pasukan itu dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

PSG menandatangani Messi selepas masalah kewangan yang menyaksikan Barcelona tidak dapat mengekalkan pemain itu bulan lalu dan bintang Argentina berkenaan turut beraksi selama 24 minit ketika kelabnya menentang Reims dalam Ligue 1 sebelum waktu rehat antarabangsa lalu.

Messi, yang memenangi UCL sebanyak empat kali sewaktu bersama Barcelona, dijangka akan melakukan penampilan pertama bersama PSG dalam kejohanan itu ketika menentang Club Brugge awal pagi Khamis ini dan Pochettino memaklumkan kepada UEFA.com bahawa pemain itu sudah bersedia sepenuhnya.

Apabila diminta untuk menggambarkan rakan senegaranya itu, Pochettino berkata: "Saya mungkin seorang yang paling tidak sesuai untuk menggambarkannya. Ada ramai orang lain yang mempunyai tatabahasa lebih besar untuk menggambarkannya secara lebih dekat seperti selayaknya Leo.

"Dia akan sentiasa menjadi antara pemain terbaik di dunia. Sejak dia tiba, dia dapat menyesuaikan diri dengan amat cepat dan dia juga berlatih dengan amat baik, mencuba untuk mencapai tahap tertinggi secepat mungkin demi bersaing di tahap terbaiknya.

"Saya tidak pernah terfikir (kami dapat menandatanganinya) dan apabila peluang itu tiba, segalanya berlaku dengan pantas, anda tidak dapat menghadamkannya secara terus. Bagaimanapun, ada hubungan sesama kami: kami berdua adalah warga Argentina, kami berdua menyokong Newell's (Old Boys), kami berdua berasal dari Rosario.

"Saya juga sudah lama meminatinya sewaktu menghadapinya sebagai lawan, jadi untuk dapat melatihnya bersama kami adalah sesuatu yang baik. Kami harap, dengan bersama-sama, kami dapat mencapai apa yang kelab ini inginkan," katanya.