Lionel Messi membidas Pengarah Bolasepak Barcelona, Eric Abidal, selepas bekas pemain itu berkata sesetengah pemain Barca tidak berusaha keras, yang mendorong pemecatan Ernesto Valverde.

Abidal menghadiri sesi temu bual dengan media Sepanyol semalam dan dalam satu perbincangan dengan Penerbitan Sukan Catalan, bekas pertahanan kiri Perancis itu mendedahkan proses yang mendorong kepada pemecatan Valverde bulan lalu.

Dia berkata pihak atasan Barca sudah mula mempertimbangkan untuk menukar jurulatih selepas pasukan itu terikat 0-0 dengan Real Madrid pada 18 Disember lalu sambil mendapati "ramai pemain tidak berpuas hati, tidak berusaha keras dan terdapat masalah komunikasi dalaman".

Tetapi Messi, yang jarang menjadi tumpuan kontroversi di kelab itu, membidas kenyataan Abidal dengan berkata pegawai atasan itu sepatutnya menamakan individu daripada memukul rata setiap pemain.

Melalui laman Instagram rasminya, Messi berkata: "Sejujurnya saya tidak gemar melakukan perkara seperti ini tetapi saya fikir setiap orang perlu bertanggungjawab terhadap setiap tugas dan setiap keputusan mereka.

"Pemain (bertanggungjawab dengan) apa yang berlaku di atas padang dan kami juga merupakan yang pertama menyedari jika kami tidak melakukannya dengan baik.

"Mereka yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sukan juga perlu menyedari tanggungjawab mereka, terutama terhadap keputusan yang mereka lakukan.

"Akhir sekali, saya fikir apabila bercakap mengenai pemain, anda perlu memberikan nama.

"Kerana jika tidak, kami semua akan terpalit dan terkesan dengan apa yang diperkatakan walaupun ia tidak benar," katanya.

Barca selepas ini akan berdepan Athletic Bilbao dalam suku akhir Copa del Rey awal pagi lusa.

Editor: Muzaffar Musa