Bernardo Silva percaya rakan senegaranya, Bruno Fernandes, memiliki mentaliti dan perwatakan untuk berjaya di Manchester United.

Ole Gunnar Solskjaer menyempurnakan perpindahan utama bulan lalu dengan mendapatkan khidmat pemain tengah Sporting CP, Fernandes.

Dalam aksi debutnya, seri tanpa jaringan ketika berdepan Wolves di Old Trafford hujung minggu lalu, Fernandes mempamerkan kerlipan kemampuannya yang menghadirkan 28 gol dalam 50 aksi Liga Perdana Portugal sejak musim lalu.

Bintang Manchester City, Silva, yang bertugas dalam skuad Portugal bersama bekas pemain Sampdoria itu, meminati kualiti yang dipamerkan Fernandes.

"Saya berasakan dia akan menyesuaikan diri (dengan Liga Perdana Inggeris), dia telah bermain di Itali ketika muda, jadi ini bukanlah pengalaman pertamanya beraksi di luar negara," katanya kepada Sky Sports.

"Saya sangat gembira buat dirinya, saya sangat gembira kerana dia bermain bersama salah sebuah kelab terbesar dunia dan mampu cemerlang bersama Man Utd.

"Perkara terbaik tentang Fernandes adalah mentalitinya, cara dia memberikan 100 peratus kepada pasukan dan melakukannya dalam setiap perlawanan. Tidak mengira berdepan mana-mana pasukan, mentaliti dan perwatakan adalah kualiti terbaiknya.

"Pertama kali saya bergandingan dengannya ketika kami berusia 18 tahun. Perlawanan pertama saya bersama skuad B-19 Portugal, juga perlawanan pertama buat Fernandes.

"Kemudian kami bergandingan dalam skuad B-23 dan skuad kebangsaan dan kami kini berada di Manchester. Kami kini perlu bersaing tetapi ia amat baik buat dirinya berada di sini."

"Perubahan sentiasa perkara yang merumitkan; anda perlu menyesuaikan diri dengan cara pasukan baru, rakan sepasukan anda, cara permainan yang diterapkan pengurus, sistem baru, jadi Fernandes mungkin memerlukan sedikit masa.

"Tetapi dia mampu menjadi aset penting kepada Man Utd -- tetapi harap-harap bukan untuk mengatasi Man City."
Silva dan Fernandes dijangka bertemu dalam aksi 'derby' Manchester di Old Trafford bulan depan.




Editor: Ammar Hakim