Memphis Depay menegaskan bahawa dia tidak sama sekali menyesal berpindah ke Barcelona walaupun Los Cules memulakan musim ini dengan sukar.

Penyerang Belanda itu berpindah ke Camp Nou dari Lyon dengan perpindahan percuma tetapi tidak berpeluang membentuk gandingan dengan Lionel Messi yang meninggalkan kelab itu berikutan masalah kewangan dan kemudian bergabung dengan Paris Saint-Germain (PSG).

Dengan ketiadaan pemain Argentina itu, Barcelona mengalami kekalahan 3-0 dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) untuk berada di tangga teratas kumpulan dan hanya memang tiga kali daripada tujuh perlawanan awal LaLiga.

Depay, bagaimanapun, menegaskan tetap berasa istimewa untuk mewakili kelab gergasi Catalan itu tanpa mengira prestasi mereka ketika ini.

"Bagaimana anda boleh bertanyakan soalan seperti ini (jika saya menyesali waktu perpindahan saya ke Barcelona)?

"Ini adalah Barcelona. Saya tidak fikir anda memahami betapa besarnya kelab ini dan apa maksudnya buat pemain jika berpindah ke kelab seperti ini. Saya tidak akan pernah menyesalinya," katanya.





Pemain berusia 27 tahun itu yakin dengan peluang Blaugrana untuk mengubah nasib mereka sambil beranggapan bahawa pasukan barunya berkenaan mampu meredakan tekanan yang semakin meningkat terhadap pengurus, Ronald Koeman, gara-gara permulaan lembab.

"Walaupun keputusan tidak memihak kami, saya sangat gembira di kelab," kata pemain dari Belanda itu lagi.

"Ini adalah masa yang sukar buat pasukan. Saya tidak mahu bercakap banyak mengenainya tetapi orang bertindak seolah-olah musim ini sudah berakhir.

"Masih ada begitu banyak perlawanan untuk dimainkan. Semuanya masih terbuka. Tetapi sebagai pemain, saya berasa bertanggungjawab dan saya memikulnya. Saya peduli. Setiap pemain di Barca bertanggungjawab. Ia adalah normal buat kelab seperti Barcelona.

"Kami sedar keadaannya ketika ini. Kami tahu ia sukar. Kami pemain muda, menghadapi banyak kecederaan. Tetapi saya fikir masa akan menentukan kebangkitan kami.

"Semua orang panik kerana bagi kelab sebesar Barcelona ini, ia adalah situasi baru. Mereka sudah terbiasa memenangi segalanya dengan permainan menarik. Ini adalah situasi baru tetapi saya tidak bimbang. Saya pasti kami akan dapat mengubah keadaan."

Depay telah memulakan kempen ini dengan baik di tahap individu, menjaringkan tiga gol dan mencipta bantuan jaringan dalam tujuh penampilan liga sambil berharap dapat meningkatkan jumlah itu ketika Barcelona menjadi tuan rumah kepada Valencia pada 18 Oktober depan.