Melaka United perlu membuat percaturan tanpa tiga tonggak utama yang merupakan sebahagian daripada perjanjian awal bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tiga pemain itu terdiri daripada S. Kumaahran, Che Rashid Che Abd Halim dan Hasbullah Abu Bakar yang merupakan pemain pinjaman dari gergasi Selatan berkenaan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak merencatkan misi mereka untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super ketika bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan, sudah mempunyai bayangan kepada pengganti ketiga pemain-pemain itu namun masih belum sedia untuk mendedahkannya.

"Tiga pemain ini telah menyerapkan diri ke dalam pasukan dengan baik walaupun ada yang diturunkan dalam kesebelasan mahupun sebagai pemain gantian.

"Saya kehilangan pemain-pemain ini tetapi ada lagi yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka," katanya dalam sesi latihan petang tadi.



Sekitar sesi latihan pasukan Melaka United FC di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Skudai petang tadi menjelang...

Posted by Melaka United Football Club on Thursday, April 1, 2021


Ia dibantu dengan barisan anak buahnya yang bebas daripada kecederaan, secara tidak langsung menawarkan beberapa pilihan buatnya merencana kekosongan yang ditinggalkan mereka.

Selepas mengharungi lima perlawanan, Melaka kental apabila masih belum tewas dan atas dorongan itu, Zainal mengidam untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Johor Bahru bagi mengekalkan rekod tersebut.

"Perlawanan lalu sudah menajdi sejarah.

"Saya mengharapkan kami dapat membawa pulang mata selepas dikenakan hukuman ditolak tiga mata.

"Kami harap dapat bangkit seterusnya baiki kedudukan kami."