Kylian Mbappe memberikan tamparan hebat kepada kelab-kelab besar seluruh Eropah dengan menyatakan bahawa cita-citanya yang paling besar adalah memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Paris-Saint Germain (PSG).

Kontrak Mbappe dengan PSG berakhir pada tahun 2022 dan tidak ada kekurangan spekulasi mengenai masa depannya.

Pasukan kendalian Mauricio Pochettino menamatkan saingan sebagai naib juara Ligue 1 di belakang Lille dan tersingkir dalam peringkat separuh akhir UCL pada musim 2020-21 yang mengecewakan.

Mbappe menjaringkan 42 gol dalam 47 penampilan dalam semua pertandingan untuk kelab gergasi Paris musim lalu -- hanya Robert Lewandowski (48) yang menjaringkan lebih banyak gol dalam lima liga teratas Eropah.

Walaupun musim PSG kurang memuaskan, bekas bintang Monaco itu menyatakan hasratnya untuk kekal di ibu negara Perancis dalam temubual bersama dengan Neymar untuk Majalah PSG.

Marca menerbitkan wawancara itu semalam, dengan Neymar pada mulanya menyatakan, 'Impian terbesar saya dengan PSG adalah memenangi UCL dan Piala Dunia bersama Brazil'.

Ketika penyerang Brazil membalas pertanyaan pada rakan sepasukannya, Mbappe menjawab, "Impian terbesarnya adalah memenangi UCL bersama PSG, itu akan menjadi luar biasa."