MILAN 1 EMPOLI 0

Pengurus Milan, Stefano Pioli, tidak mahu mendabik dada dengan kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Empoli apabila menegaskan mereka masih perlu menempuhi terdapat banyak laluan liku dalam perebutan gelaran Serie A.


Gol menarik daripada Pierre Kalulu pada minit ke-19 sudah cukup untuk mereka memenangi pertembungan sengit di San Siro itu untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan.

Rembatan jarak jauh Kalulu itu menjadikannya sebagai penjaring ke-16 buat Milan sepanjang kempen liga ini untuk di belakang Fiorentina dan Atalanta (kedua-duanya 17 pemain keseluruhannya), sekali gus memacu tuan rumah di puncak dengan kelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Inter, yang mempunyai dua perlawanan di dalam tangan.

Pioli gembira dengan pendekatan pasukannya ketika mengharungi pertemuan getir itu tetapi mengakui masih ada ruang untuk diperbaiki selepas hanya mencatatkan tiga percubaan dalam separuh masa kedua yang hambar.

Jaringan kemenangan itu juga merupakan gol dari luar kotak penalti ke-10 buat Rossoneri pada musim ini -- jumlah terbanyak dalam lima kancah utama Eropah.

“Seteru kami (dalam perebutan gelaran iaitu Inter dan Napoli) akan beraksi esok, masih ada perlawanan untuk diharungi,” katanya kepada Sky Sport.

"Saya fikir ia akan menjadi lebih teratur jika semua kelab telah bermain dengan jumlah yang sama, ia boleh menjadi lebih jelas lagi.

"Tetapi hari ini ia adalah satu pertembungan yang rumit dan kami berjaya mengatasinya dengan baik. Kami berdepan lawan yang meletakkan kami dalam kesukaran tetapi dalam fasa bertahan kami kurang ditembusi.

“Pada awal babak kedua, kami kehilangan bola beberapa kali kerana kami kurang bergerak.

“Kami sentiasa fikir untuk menambah baik keadaan dan memang benar selepas gagal mendominasi permainan, kami tidak mahu mengambil sebarang risiko (dalam aspek bertahan).

"Saya pasti lebih banyak perlawanan yang ditempuh, kami akan semakin meningkat. Matlamat kami ketika ini ialah memastikan setiap pemain memberikan yang sehabis baik jadi usahanya pastinya perlu berlipat ganda."




Dengan Juventus turut menang malam tadi dan belum kecundang dalam 15 perlawanan terakhir liga tetapi masih tujuh mata di belakang Milan, sehubungan itu Pioli percaya Bianconeri juga adalah pesaing utama.

"Juventus juga dalam perlumbaan gelaran," kata pengurus berusia 56 tahun itu lagi.

“Baki sembilan perlawanan adalah banyak, 27 mata untuk direbut adalah banyak.

"Semua lima pasukan teratas pasti masih berada dalam perlumbaan."