Apabila tiga mata yang memisahkan Liverpool dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris musim ini iaitu Manchester City, ia telah menarik perhatian peminat-peminat bola sepak untuk melihat lebih dekat kemampuan anak didik Pep Guardiola menangani tekanan yang diberikan The Reds itu.

Situasi sama ini pernah terjadi pada musim 2018-2019 apabila The Citizens berjaya memintas The Reds di hujung persaingan liga -- berbaki lagi 12 perlawanan ada kemungkinan ia boleh terjadi sebagaimana musim 2018-2019.

Namun, segala-galanya bergantung pada situasi semasa pasukan The Citizens itu, sekiranya tiada isu kecederaan dan kesihatan yang disebabkan Covid-19 ia akan memudahkan Pep Guardiola untuk menyusun strategi terutama dalam melakukan pengiliran pemain-pemainnya untuk menghadapi baki perlawanan terutama di bahagian serangan.

Kelebihan The Citizens ketika ini iqlqh akan berhadapan pasukan yang lemah kecuali bertemu Man United, Liverpool dan West Ham United. Tetapi itu bukan kayu pengukur sekiranya The Citizens gagal mengambil kesempatan itu pasti akan membuka ruang pada The Reds.





Walaupun dari susunan baki perlawanan itu nampak agak sukar pada anak didik Jurgen Klopp kerana akan berhadapan dengan pasukan-pasukan seperti West Ham, Arsenal, Man United dan Man City tetapi ia masih ada lagi harapan.

Ini kerana motivasi dan emosi pemain-pemain Liverpool berada pada tahap terbaik mereka, ia dibuktikan dengan kemenangan berturut-turut pada lima perlawanan terakhir.

Selain itu ketika ini juga pemain-pemain The Reds mendominasi carta penjaring terbanyak serta umpanan gol yang tinggi yang diketuai Mohamed Salah diikuti Diogo Jota dan Sadio Mane.





Kelebihan itu pasti akan menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain The Reds untuk terus menekan Man City.

Dengan kepakaran Klopp mengurus emosi pemain-pemainnya itu juga merupakan senjata utama bagi The Reds. Inilah masa terbaik juga Klopp dan anak didiknya untuk merampas kembali takhta liga dari The Citizens kerana mereka berada pada prestasi yang terbaik serta moral yang tinggi.