Leeds United telah berpisah dengan Marcelo Bielsa, selepas dibelasah Tottenham 4-0 Sabtu lalu.

Kekalahan itu berlaku pada penghujung minggu yang mengerikan di mana Leeds mengalami kekalahan 4-2 di tempat sendiri kepada Manchester United dan dibelasah 6-0 oleh Liverpool di Anfield, menyebabkan mereka terperangkap dalam pertempuran untuk mengekalkan status Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka.

Leeds tidak menang dalam enam perlawanan EPL sejak menewaskan West Ham United pada pertengahan Januari, setelah tewas lima daripada perlawanan itu, melepaskan 21 gol, bermakna khidmat pengendali kegemaran peminat, Bielsa telah ditamatkan, selepas lebih tiga setengah musim di Elland Road.

Berita itu disahkan semalam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasmi kelab.

“Ini merupakan keputusan paling sukar yang saya perlu buat sepanjang tempoh saya di Leeds United, dengan mengambil kira semua kejayaan Marcelo di kelab itu,” kata pemilik Leeds, Andrea Radrizzani.

"Dengan Marcelo sebagai ketua jurulatih kami, kami mempunyai tiga musim yang luar biasa dan menghadirkan semua detik terbaik kembali ke Elland Road. Dia mengubah budaya kelab dan membawa mentaliti kemenangan kepada kami semua.

“Detik-detik yang dicipta, terutamanya pada musim 2019-20 dan memenangi promosi ke EPL, sudah tentu akan kekal lama dalam kenangan kami, saya sendiri dan peminat.

"Bagaimanapun, saya perlu bertindak demi kepentingan terbaik kelab dan saya percaya perubahan diperlukan sekarang untuk memastikan status Liga Perdana kami. Keputusan dan persembahan terkini tidak memenuhi jangkaan kami.

“Kami mendapati diri kami berada dalam kedudukan liga yang tidak menentu dan saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk membawa masuk ketua jurulatih baharu, untuk memberi impak dalam peringkat penentuan musim ini.

"Sememangnya, saya sendiri, bersama orang lain di kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Marcelo atas usaha dan pencapaiannya dan kami mendoakan yang terbaik untuknya untuk masa depan."