Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menganggap masa depan sukan silat negara berada di landasan yang tepat untuk meraih lebih kejayan pada masa akan datang.

Ini selepas skuad silat negara mengatasi sasaran dua pingat emas dengan empat emas yang diraih dalam Sukan SEA Kemboja baru-baru ini -- biarpun membariskan pesilat muda dan muka baru temasya itu dalam edisi kali ini.

Selain itu, Megat Zulkarnain turut beranggapan bahawa rombakan barisan kejurulatihan skuad negara turut menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan itu.

"Kami menutup tirai Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan satu keputusan yang cukup baik," katanya kepada Astro Arena.

"Saya bersyukur. Walaupun sasaran awal, kami hanya menyasarkan dua pingat emas.

"Alasan dan asas kepada sasaran itu adalah disebabkan 70 peratus daripada atlet kali ini merupakan mereka yang kali pertama mengambil bahagian dalam temasya sukan yang besar seperti Sukan SEA ini.

"Kami juga mengambil kira penyertaan daripada negara lain, di mana mereka lebih bersedia.

"Kita tahu Indonesia, Vietnam dan Singapura menghantar pasukan terbaik tetapi kita mempunyai pelapis yang bagus, di mana kebanyakan mereka berusia bawah 20 tahun dan mempunyai masa yang panjang untuk berada dalam skuad silat kebangsaan," katanya.