Keputusan Cristiano Ronaldo untuk angkat kaki secara tidak disangka-sangka – tapi dialu-alukan --menimbulkan persoalan tentang sama ada Manchester United bakal mendapatkan penyerang berkelas dunia yang lain sebagai pengganti.

Nama bintang muda Belanda, Cody Gakpo, telah lama disebut-sebut sebagai salah seorang calon terbaik, dengan pengurus United, Erik Ten Hag, diketahui ramai telah mengenal pasti bakat pemain itu sejak dari waktunya mengendalikan Ajax lagi.

Malang sekali seteru ketat, Liverpool, lebih pantas bertindak untuk menyempurnakan segala perbincangan dan urusan perpindahan.

Sebelum sepak mula perlawanan United menentang Nottingham Forest semalam lagi, Gakpo telah diumumkan bakal menyertai Liverpool secara rasmi – betapa ia harus menyakitkan hati!

Menurut akhbar The Daily Mail, kegagalan United untuk merebut Gakpo berpunca daripada hakikat bahawa strategi pembelian United telah terganggu akibat keputusan pemilik kelab, Glazers bersaudara, untuk menjual saham mereka sepenuhnya.

Ini ditambah pula dengan keengganan The Red Devils untuk berbelanja lebih lanjut setelah melaburkan lebih £220 juta (RM1.2 bilion) dalam jendela perpindahan yang lepas.



Penganalisis bola sepak nampaknya sebulat suara bahawa pilihan terbaik United ketika ini adalah mendapatkan pemain yang berkebolehan atas dasar pinjaman dan hanya bertindak untuk membeli pada jendela perpindahan berikutnya jika pemain itu memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Malangnya, pemain berkelas dunia yang rela untuk dipinjamkan tidak ramai ketika ini.

Dalam pilihan mereka yang terhad, Joao Felix dari Atletico Madrid berpotensi untuk menjadi calon bersesuaian gara-gara pemain itu dikatakan tidak gembira di kelab LaLiga berkenaan, namun ini masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

United dilihat selesa membenam Nottingham Forest 3-0 semalam, dengan aksi mantap Marcus Rashford menghadirkan keyakinan yang amat ditagih oleh penyokong-penyokong.



Namun, daripada segi statistik, United cuma menjaringkan 23 gol setakat ini -- jauh ketinggalan berbanding Manchester City dan Arsenal, yang masing-masing telah menyumbat 40 dan 36 gol.

Penyerang senior mereka ketika ini hanyalah Rashford dan Anthony Martial, dengan hanya pemain-pemain muda dan kekurangan pengalaman seperti Anthony Elanga dan Alejandro Garnacho menjadi sandaran jika ada kecederaan yang berlaku.

Sama ada meletakkan kepercayaan terhadap pemain sedia ada atau mendapatkan pemain pengganti pada kadar segera dan kos yang berpatutan, setiap pilihan datang dengan risiko tersendiri.

Keputusan diletakkan sepenuhnya di tangan Ten Hag, yang sebelumnya dipetik sebagai berkata United perlu menandatangani penyerang baru dalam jendela perpindahan bulan depan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo.

Bagaimanapun, tegasnya, pembelian itu perlu melibatkan seorang pemain yang betul-betul tepat setelah terlepasnya Gakpo yang dianggap menepati kriteria berkenaan.

Yang dikendong sudah pun keciciran gara-gara temu bual kontroversi Ronaldo dengan Piers Morgan, yang dikejar pula belum tentu kesudahannya.