Tyrell Malacia sah mengikat kontrak untuk menyertai Manchester United daripada Feyenoord dengan kesepakatan yang dilaporkan bernilai £15 juta (RM79.28 juta).

Pemain kebangsaan Belanda itu menamatkan penantian pembelian pertama Manchester United dalam era Erik ten Hag di Old Trafford selepas beberapa pemain mula meninggalkan pasukan itu.

Malacia kini akan bersama pengurus senegaranya itu di United dan dijangka akan memberikan saingan buat Luke Shaw dan Alex Telles di bahagian pertahanan kiri menyerang selepas mengikat kesepakatan selama empat tahun dengan pilihan untuk melanjutkannya semusim lagi.

"Ia merupakan perasaan yang luar biasa untuk dapat menyertai Manchester United," kata Malacia.

"Ini merupakan lembaran baru buat saya, liga baru bersama rakan sepasukan baru dan pengurus yang hebat untuk membimbing kami.

"Saya mengetahuinya sejak berlawan dengan pasukan bimbingannya dalam Eredivisie, kualiti yang dimilikinya amat diperlukan pemainnya.

"Walapun saya sedar saya masih muda dan masih boleh berkembang, saya boleh janjikan buat peminat United bahawa saya akan memberikan segala-galanya di atas padang setiap kali saya menyarung jersi merah ini.

"Saya sentiasa berterima kasih kepada Feyenoord atas apa yang telah mereka berikan kepada saya dan keluarga saya.

"Tiada apa seperti ini mungkin berlaku tanpa mereka. Kini saya bersedia untuk menumpukan kepada masa depan bersama United dan membantu kelab baru saya ini untuk mencapai kejayaan," katanya.