Cristiano Ronaldo meratapi kekalahan Manchester United kepada Young Boys dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan ikon dunia itu menuntut The Red Devils agar segera bertindak balas.

Ronaldo melakar gol ketiga dalam dua perlawanan sejak kembali ke United, namun 10 pemain bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu menempa kekalahan 1-2 selepas Jordan Siebatcheu menerpa kesilapan hantaran ke belakang Jesse Lingard pada minit ke-95.

Selepas menyamai rekod bekas rakan sepasukan Real Madrid, Iker Casillas, dengan penampilannya yang ke-117 UCL awal pagi tadi, Ronaldo membuka tirai jaringan perlawanan Kumpulan F itu pada minit ke-13.


Begitupun, pelawat terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal selepas pertahanan, Aaron Wan-Bissaka, dibuang padang ketika 10 minit menuju ke bilik persalinan.

Jaringan Nicolas Moumi Ngamaleu pada minit ke-66 mengikat kedudukan sebelum Young Boys mengecapi detik manis dalam sepakan terakhir perlawanan.

Dengan United akan melakukan perjalanan ke West Ham pada Ahad ini bagi meneruskan rentak tanpa kalah dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Ronaldo menulis di media sosial: "Bukan satu keputusan yang kami mahukan tetapi sekarang adalah saatnya untuk pulih dengan baik dan fokus kepada perlawanan berikutnya!"




Ia adalah satu malam yang sukar buat anak buah Solskjaer apabila sekadar melakukan dua percubaan ke pintu gol Young Boys -- jumlah terendah yang dicatat oleh Opta dalam 138 perlawanan UCL membabitkan mereka sejak 2003-04.

Dua percubaan itu termasuk yang terakhir adalah menerusi pemain berusia 36 tahun tersebut pada minit ke-25.

"Ia adalah satu perlawanan dan di gelanggang yang sukar. Beraksi di tempat lawan dan dengan 10 pemain, kami masih selesa dalam permainan," kata ketua pasukan United, Harry Maguire, kepada MUTV.

"Kami melepaskan gol yang tidak memihak kami. Walaupun kami tidak mempamerkan aksi terhebat dan bukan ancaman terbesar, kami masih kelihatan sangat kukuh dengan tidak membenarkan banyak peluang dan kemudian, jelas sekali pihak lawan beroleh kemenangan.

"Ini adalah perlawanan di peringkat kumpulan, kami mempunyai banyak perlawanan lagi untuk bangkit jadi kami mesti melakukannya."

Mereka akan berdepan Villarreal dan Atalanta di tempat sendiri dalam aksi UCL selepas ini.