Pep Guardiola memberi isyarat bahawa Manchester City perlu menangani kehilangan Ruben Dias untuk perlawanan sukar menentang Atletico Madrid dan Liverpool.

Pertahanan pusat itu telah diketepikan sejak mengalami kecederaan hamstring dalam kemenangan Piala FA di Peterborough United pada 1 Mac lalu sebelum dijangka tersisih hingga 4-6 minggu.

Pertahanan Portugal itu nampaknya belum pasti akan pulih tepat pada masanya, lebih-lebih lagi City akan berdepan Atletico dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan pertembungan sengit dengan Liverpool yang berpotensi menjadi penentu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sempena kunjungan ke Burnley malam ini, pengendali itu mengesahkan pertahanan tersebut masih tiada dalam kesebelasan utama.

“Saya tidak tahu,” katanya ketika ditanya berapa lama lagi Dias akan terus berada di tepi padang.

"Doktor kata empat hingga enam minggu. Saya rasa kami perlukan 10 hari lagi, dua minggu lagi. Tapi semuanya berjalan lancar."


Perlawanan pertama suku akhir Atletico akan berlangsung di Stadium Etihad, minggu depan disusuli aksi getir menentang Liverpool, Ahad depan -- tiga hari sebelum anak buah Guardiola kembali beraksi untuk kempen Eropah di Madrid.

Dias mungkin bergelut untuk terbabit dalam tiga perlawanan itu selain aksi separuh akhir Piala FA, juga menentang Liverpool, pada 16 April depan di Stadium Wembley.

Walaupun Dias menjadi tunjang dalam perancangan Guardiola, ketiadaannya dalam empat perlawanan EPL musim ini tidak memberi kesan buruk yang besar setakat kini -- Tiga kemenangan dan seri sekali.