"Perlu waspada," kata pemain tengah skuad B-18 negara, Harith Haiqal Adam Afkar, yang tidak mahu pasukannya mudah berasa selesa dalam final Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh malam ini sambil menganggap lawan, Australia, yang dikendalikan Gary van Egmond, masih menyimpan kuku meskipun tewas 0-3 dalam aksi peringkat kumpulan.

Harith Haiqal antara pemain yang tidak pernah tercicir daripada perancangan ketua jurulatih, Brad Maloney, sepanjang edisi ini.

Perwatakan yang dibawanya di atas padang banyak mencetuskan cemas pihak lawan dan kelibatnya dijangka akan kekal menjadi taruhan Maloney dalam final malam ini.

Daripada pengamatannya, Australia masih belum mempamerkan aksi sebenar dan sebarang tindakan mengambil mudah mampu mengundang padah.

"Saya rasa mereka simpan (kekuatan) lagi kot.

"Tetapi Insya-Allah, kami boleh berikan tentangan yang hebat kepada Australia.

"Saya yakin dan saya mengenali beberapa pemain utama mereka, terutama penyerang.

"Saya rasa saya dapat halang dia dan berikan yang terbaik untuk perlawanan final," katanya.

Pemain tengah itu memainkan peranan penting ketika memastikan kemaraan Malaysia ke final.

Kelmarin, dia membawa watak pemusnah terhadap impian Indonesia selepas mencetak jaringan penyamaan untuk mengikat kedudukan 3-3 menerusi sepakan penalti yang bersahaja.

Dia kemudian muncul penjaring gol kemenangan hasil tandukan padu sebaik menerima sepakan percuma kapten pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi, dalam masa tambahan.

"Berbanding perlawanan pertama, saya rasa perlawanan dengan Indonesia lebih baik berbanding dengan Vietnam.

"Semua dah saling faham di antara satu sama lain.

"Ia membuatkan kami boleh bermain dengan lebih baik.

"Saya harap persefahaman ini dapat berterusan hingga Kejohanan AFC," tambahnya.