Pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, bersikap terbuka dengan pendirian pemain mengenai hala tuju masing-masing susulan pasukan itu bakal dijadikan sebagai 'feeder club' atau kelab pembangunan musim depan.

Kedudukan pemain dan barisan kejurulatihan PKNS menjadi tanda tanya dengan kemelut yang melanda pasukan itu ketika ini.

Dicanang untuk menjadi kelab pembangunan buat Selangor, pemain dan jurulatih tampak kehilangan tempat bersama pasukan itu.

Situasi itu menyebabkan terdapat dalam kalangan pemain The Red Ants yang sudah mencari haluan baru masing-masing untuk cabaran musim depan.

"Kami di pihak pengurusan bersifat terbuka sekiranya terdapat mana-mana pemain yang mahu berhijrah dan dibenarkan untuk berbuat sedemikian. Kami berharap mereka dapat meneruskan karier sebagai pemain bola sepak dan menabur kudrat bersama pasukan lain," katanya.

Difahamkan, hampir semua pemain sudah melakukan rundingan untuk mencari pasukan baru, antaranya pemain tengah negara, Akram Mahinan, penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin, dan pertahanan, Nicholas Swirad.

"Sebarang hala tuju dan ketetapan rasmi pasukan yang melibatkan pihak pengurusan, jurulatih dan pemain masih belum diputuskan dan kami berharap perkara ini diberikan maklumat yang lebih terperinci oleh pihak pengurusan tertinggi."