Ralf Rangnick yakin Harry Maguire tidak akan menjadi subjek di Manchester United selepas dia diejek ketika bertugas antarabangsa bersama England.

Nama Maguire dicemuh menjelang kemenangan persahabatan England 3-0 ke atas Ivory Coast, Rabu lalu, hingga ditempelak oleh Gareth Southgate dan barisan pemain Three Lions.

Southgate menyifatkan sambutan di Wembley itu sebagai 'melucukan' sementara Harry Kane, Jordan Henderson, Jack Grealish dan Declan Rice tampil mempertahankan Maguire.

Memandangkan pertahanan tengah itu telah memainkan peranan penting dalam kemaraan England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan final Euro 2020, kritikan lantang berkenaan kelihatan lebih menjurus ke arah prestasinya di kelab.

Maguire yang merupakan ketua pasukan United sentiasa menjadi perhatian ramai dalam musim yang sukar di Old Trafford ketika ini.

Bagaimanapun, pengurus sementara United itu tidak menjangkakan anak buahnya tersebut bakal menerima sambutan yang sama daripada penyokong sendiri.

Ditanya sama ada dia masih bercakap dengan Maguire mengenai insiden itu, Rangnick menjawab: "Belum lagi, tetapi saya kerap bersuara jadi dia tahu kedudukan saya terhadapnya.

“Dia merupakan seorang pemain yang sangat berharga buat pasukan kebangsaan dan kelab.

"Saya tidak faham apa yang berlaku di Wembley, ia tidak akan berlaku di stadium kami dan penyokong The Reds Devils sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan dan kapten kami. Dia telah beraksi dengan baik buat Manchester United dan England dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Gareth Southgate berkata sesuatu selepas perlawanan, begitu juga Harry Kane. Saya tidak menonton perlawanan itu, tetapi saya mendengar apa yang berlaku selepas mereka mengumumkan kesebelasan utama. Ia sukar untuk difahami.

"Saya tidak bercakap dengan mereka secara peribadi tetapi saya cukup pasti ia tidak akan berlaku di stadium kami. Peristiwa ketika perlawanan antarabangsa ini agak luar biasa."




Rangnick kemudian ditanya adakah Maguire menjadi mangsa kritikan berikutan persembahan United sendiri yang terumbang ambing.

"Saya tidak fikir ini adalah perkara peribadi," katanya lagi.

“Ia tiada kaitan dengan Harry sendiri.

"Kami sedar ada seorang dua pemain yang telah dikritik sejak beberapa bulan lalu. Contohnya, Fred, pemain yang sangat penting untuk pasukan ini, mewakili pasukan dan Brazil dengan kerap. Saya menonton permainannya dan dia melakukannya dengan baik.

“Mungkin ia masih ada kaitan dengan jangkaan tinggi terhadap kelab ini dan mungkin orang ramai cenderung membandingkan mereka dengan bekas pemain dan legenda.

"Seperti Fred, kami juga boleh bercakap tentang Scotty (McTominay) dan Harry, mereka adalah tunjang pasukan dan pemain dengan sikap yang tepat."