Jose Mourinho menolak peluang untuk mengadakan perbincangan mengenai kekosongan jawatan sebagai pengurus di Lyon kerana dia telah "memilih pasukan lain", kata presiden kelab Ligue 1 itu, Jean-Michel Aulas.

Mourinho sudah tidak memegang sebarang peranan dalam bidang pengurusan sejak Disember tahun lalu setelah dipecat oleh Manchester United susulan keputusan hambar.

Musim ini, pengendali kelahiran Portugal itu membuat penampilan di televisyen sebagai pemerhati bola sepak sehingga mendapat perhatian meluas melalui pandangan, sikap dan analisisnya.

Lyon memecat Sylvinho, Isnin lalu, selepas hanya mencipta satu kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhirnya.

Sehubungan itu, Aulas telah mengenal pasti bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu sebagai pengganti, namun mendapati dia telah memasang perancangan di tempat lain.

"Kami saling bertukar-tukar teks dengan nada yang menggembirakan," kata Aulas kepada pemberita melalui telefon dalam satu sidang berita.

"Ia bagus untuk semua pihak. Dia tidak menerima pelawaan kami untuk mengadakan pertemuan kerana dia telah memilih kelab lain."

Sylvinho hadir di samping ikon kelab, Juninho Pernambucano, yang dilantik sebagai pengarah sukan dalam pra-musim lalu.

Aulas mengesahkan keputusan untuk memecat bekas pemain Manchester City dan Barcelona itu datang daripada Juninho kerana falsafah pengurus dari Brazil itu yang dianggap negatif dan tidak menarik minatnya.

"Juninho yang mengambil keputusan untuk menukar pengurus, malah dia sudah mengesan hal ini dengan lebih awal," katanya lagi.

"Dia akan meneruskan peranannya dengan cara yang sama.

"Dia bernafas dalam bola sepak. Gaya bertahan yang diterapkan Sylvinho menimbulkan kesan ketidakstabilan terhadap gaya permainan menyerang Lyon. Kami membuat kesilapan tetapi secara umumnya kami tidak akan membuat dua kesilapan."

Walaupun Aulas seolah-olah mahu mengesahkan Patrick Vieira tiada dalam pertimbangannya memandangkan dia masih terikat dengan Nice, tetapi Remi Garde, yang pernah melatih Lyon di antara 2011-2014, merupakan antara pilihan.

"Dia belum dihubungi tetapi ia tidak mustahil. Buat masa ini, belum ada perbincangan yang berlaku tetapi ia mungkin terjadi," tambahnya.