Bintang muda Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin, bertekad menjadikan siri perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura bulan ini sebagai medan menebus kehampaannya.

Penyerang KV Kortirjk itu mengakui tidak berpuas hati dengan aksi yang diperagakan ketika diberi peluang beraksi dalam dua tugasan bersama skuad negara tahun lalu.

Dia berpeluang menabur bakti untuk tugasan ketiga bersama skuad negara selepas pembabitannya dalam kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kempen Piala AFF di Singapura tahun lalu.

Pemain berusia 20 tahun ity belum mempamerkan impak besar bersama skuad kebangsaan di sebalik reputasinya selaku pemain berpangkalan di Eropah.

Hakikat itu tidak dinafikan Luqman Hakim dan ia secara tidak langsung mengobarkan lagi semangatnya.




"Saya pernah bermain (bersama skuad kebangsaan) di Dubai dan Piala AFF, jadi kelemahan sebelum ini perlu diperbaiki.

"Saya tahu kelemahan sendiri, saya kena belajar daripada kesilapan.

"Mungkin saya tidak berpuas hati dengan persembahan sebelum ini, jadi saya kena tunjuk balik (kemampuan)," katanya dalam sesi latihan pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu, Luqman Hakim antara 15 pemain daripada skuad Piala AFF 2020 yang dipanggil semula untuk kem latihan pusat skuad negara di bawah bimbingan jurulatih baru, Kim Pan-gon.

Luqman Hakim kini berdepan persaingan daripada Syafiq Ahmad dan R. Kogileswaran untuk mengetuai jentera serangan bagi pertemuan menentang Singapura, Filipina dan Albirex Nigata yang bermula Rabu depan.