Lima pemain yang sedang beraksi dalam liga luar negara kini berada dalam perancangan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai, Mac depan.

Apa yang mengejutkan adalah penyerang muda negara yang kini sedang bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, iaitu Luqman Hakim Shamsudin, turut berada dalam senarai itu selain tiga pemain negara di Thailand, Dominic Tan, Mohamadou Sumareh (Police Tero) dan Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United).

Seorang lagi pemain dalam senarai itu ialah Safawi Rasid, yang kini mewakili Portimonense SC (Portugal).

Jika terpilih, ia bermakna Luqman Hakim akan melakukan penampilan pertamanya di peringkat senior antarabangsa.

"Sememangnya kami mengharapkan pemain-pemain yang berada di luar negara akan menujukkan prestasi terbaik mereka," kata Cheng Hoe kepada Nadi Arena.

"Kemungkinan besar pengalaman mereka di luar negara boleh membawa impak kepada pasukan kebangsaan.

"Safawi bermain dalam Liga Portugal, Luqman di Belgium dan ada tiga pemain yang sedang berada di Thailand. Mereka sudah pasti akan memberikan impak yang besar buat pasukan kebangsaan.

"Kami juga memerlukan mereka sentiasa beraksi kerana waktu permainan itu amat penting juga," katanya.

Cheng Hoe turut berharap susunan jadual Liga Malaysia, yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini, dapat membantunya untuk mengumpulkan pemain terbaik sekurang-kurangnya seminggu sebelum waktu rehat antarabangsa.

"Sepatutnya selepas final Piala Malaysia, kami mahu mengadakan kem latihan pasukan kebangsaan tetapi disebabkan pengumuman kerajaan bahawa segala aktiviti bola sepak perlu ditangguhkan, saya terpaksa menunda latihan pasukan kebangsaan ke tahun depan.

"Saya berharap MFL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dapat berbincang untuk mendapatkan tarikh terbaik supaya pasukan kebangsaan dapat menjalani latihan sebelum menghadapi UAE," tambahnya.