Romelu Lukaku menyifatkan dirinya bagaikan sirih pulang ke ganggang selepas dia kembali ke Inter daripada Chelsea, awal pagi tadi.

Lukaku melengkapkan perpindahan sepanjang musimnya untuk kembali ke San Siro, kurang setahun selepas meninggalkan Nerazzurri untuk menjadi pemain termahal Chelsea dengan bayaran £97.5 juta (RM520.7j).

Penyerang Belgium itu hanya menyumbat lapan gol dalam 26 penampilan Liga Perdana Inggeri (EPL) bersama kelab London itu pada kempen 2021-22.

Lukaku menjaringkan gol sebanyak 64 kali dalam 95 perlawanan dalan musim pertamanya bersama Nerazurri memenangi gelaran Serie A tahun lalu sebelum menandatangani kontrak untuk The Blues buat kali kedua.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang memilih nombor jersi 90 tidak merahsiakan hasratnya untuk bermain di San Siro semula dan berasakan dia sudah kembali ke tempat asalnya.



Dia memberitahu laman sesawabg rasmi kelab: "Ia ibarat ke kampung halaman. Saya dan keluarga saya sangat gembira di sini terima kasih kepada orang ramai, peminat dan rakan sepasukan saya.

"Sejak hari pertama saya tiba di sini, semua orang membantu saya menyesuaikan diri.

"Saya sangat gembira. Saya mengekalkan rumah saya di sini apabila saya pergi ke England, jadi ia sangat bermakna.

"Saya gembira dapat kembali dan sekarang saya tidak sabar untuk turun ke padang bersama rakan sepasukan saya."