Romelu Lukaku, sewaktu memperkenalkan seragam baru Inter Milan, mengakui bahawa keputusannya meninggalkan kelab itu untuk kembali ke Chelsea merupakan satu kesilapan,

Lukaku, 29, melalui tempoh yang hebat sewaktu di Inter selepas menyertainya daripada Manchester United menjelang musim 2019-20, di mana dia menjaringkan 64 gol daripada 95 penampilan sepanjang dua musim.

Kecemerlangannya di Itali menarik minat bekas kelabnya di Stamford Bridge, yang kemudian bersetuju untuk membawanya kembali dengan rekod perpindahan termahal bernilai £97.5 juta (RM512.94 juta).

Kepulangan pemain kebangsaan Belgium itu ke Liga Perdana Inggeris (EPL), bagaimanapun, mengecewakan di mana dia bergelut untuk mengisi kesebelasan utama Chelsea dan hanya dapat menjaringkan lapan gol daripada 26 perlawanan liga.

Dia kemudian kembali ke pangkuan Inter secara pinjaman dengan pembiayaan bernilai £7 juta (RM36.83 juta).

Sewaktu pengenalan jersi terbaru Inter, Lukaku ditanya apakah cabaran terbesar sepanjang kariernya dan dia menjelaskan bahawa cabaran itu merupakan tempoh keduanya bersama Chelsea.

v
"Yang sedang saya lalui ketika ini. Anda tahu, keputusan saya meninggalkan pasukan ini merupakan satu kesilapan," jawabnya.

"Apa yang kami lakukan dalam bilik persalinan dan di atas padang, hubungan yang kami ada sesama sendiri, ia amat penting... ia juga penting untuk orang melihat kami sebagai sebuah pasukan yang amat bersatu.

"Inter telah memberikan peluang untuk saya bermain di tahap tertinggi dalam karier saya. Saya benar-benar gembira menyarung jersi ini.

"Kami berharap akan dapat berkembang seperti tahun-tahun lalu. Kami perlu terus seperti ini untuk mencapai sasaran kami," katanya lagi.