Joachim Low menyifatkan kemenangan ke atas Chile dalam aksi final Piala Konfederasi semalam merupakan saat yang tidak akan dilupakan oleh pemain-pemainnya.

Gol daripada Lars Stindl sudah cukup untuk Jerman membawa pulang trofi walaupun Low menyenaraikan skuad yang dipenuhi oleh muka-muka baru serta pemain-pemain muda.

Low sendiri berasa amat teruja dengan usaha dan semangat yang ditampilkan anak-anak buahnya walaupun sebelum ini dikritik hebat kerana membawa skuad eksperimen biarpun Piala Dunia bakal bermula kurang dari 11 bulan lagi.

“Ini adalah satu kepuasan,” kata Low.

“Kami menunjukkan prestasi yang hebat sepanjang tiga minggu ini.

"Pemain-pemain sentiasa memberikan komitmen yang memberangsangkan dan saya amat berbangga,” ujarnya.

Kemunculan pemain-pemain seperti Timo Werner dan Leon Goretzka bakal menyaksikan persaingan sengit untuk Low memilih senarai yang akan mewakili Jerman dalam Piala Dunia pada tahun hadapan.

“Setiap pemain kini semakin meningkat dan perlu diingat, masih ramai pemain yang bagus di Jerman,” katanya.