Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, tidak mahu memanggil semula dua pemain berpengalaman Bayern Munich, Thomas Muller dan Jerome Boateng, selain bintang Borussia Dortmund, Mats Hummels.

Low mencetus berang ketiga-tiga pemain itu pada Mac tahun lalu di mana dia menyingkirkan mereka kerana mahu membina skuad masa depan selepas Jerman beraksi buruk dalam Piala Dunia 2018.

Pemain tengah, Muller (100), pertahanan, Boateng (76) dan Hummels (70), telah menghimpunkan 246 penampilan buat Jerman dan merupakan sebahagian skuad yang menjuarai Piala Dunia pada 2014 tetapi trio berkenaan kesemuanya sudah menjangkau usia lebih 30 tahun.

Jerman sudah mengesahkan tempat dalam Euro 2020 tetapi bahagian pertahanan mereka kelihatan goyah dalam beberapa perlawanan lalu dan terdapat andaian bahawa Boateng dan Hummels berkemungkinan akan dipanggil semula.

Bagaimanapun, Low menegaskan dia tidak akan memanggil semula tiga pemain itu melainkan ia adalah situasi mendesak.

"Kami sebelum ini memutuskan untuk tidak memlih pemain ini dan tiada apa yang berubah ketika ini," kata Low kepada Kicker.

"Kami tidak boleh berpatah balik, mereka pemain yang hebat dan berkelas.

"Jika ada situasi baru yang perlu kami hadapi tahun depan kerana kegagalan pemain utama, saya akan menilai dengan sewajarnya dan memikirkan senario alternatif," katanya.

Jerman akan bertemu Republik Czech dalam perlawanan persahabatan awal pagi Khamis ini sebelum bertemu Ukraine dan Sepanyol dalam Liga Negara-Negara Eropah.