Owen Hargreaves percaya ia merupakan perlawanan 'wajib menang' buat Liverpool apabila mereka melayan kunjungan Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (English Premier League) Ahad ini.

The Reds memulakan musim dengan teruk dan menduduki tempat ke-10 liga, mereka hanya memenangi dua daripada sembilan perlawanan pembukaan dan terbaru tewas 3-2 kepada Arsenal hujung minggu lalu.

Segalanya menjadi lebih sukar untuk Jurgen Klopp dan pemainnya, apabila berdepan Manchester City di Anfield dalam aksi seterusnya.

The Citizens tidak tewas dalam semua pertandingan musim ini dan kini berada di tempat kedua di belakang Arsenal.

Pemain baru, Erling Haaland, berada dalam prestasi cemerlang, melakar jaringan demi jaringan dalam setiap perlawanan.

Joel Matip dan Trent Alexander-Arnold dijangka tidak akan beraksi, satu kehilangan besar untuk Klopp, walaupun mereka bergelut mendapatkan prestasi terbaik.

Joe Gomez dan Ibrahima Konate berkemungkinan akan menggantikan duo yang cedera, dengan pertahanan Perancis itu baru pulih daripada kecederaan.

Dengan peluang merebut gelaran mungkin sukar buat Liverpool, Hargreaves telah menyifatkan ia sebagai perlawanan "wajib menang" untuk The Reds menyelamatkan musim mereka.

Kekalahan pada hari Ahad di samping kemenangan Arsenal ke atas Leeds United akan menyebabkan pasukan kendalian Klopp ketinggalan 17 mata di belakang Gunners selepas sepuluh perlawanan.

“Sudah pasti [Haaland akan turun beraksi], Phil [Foden] juga, dia sangat mengagumkan,” kata Hargreaves kepada BT Sport.

“Tiga belas mata memisahkan kedua-dua pasukan, untuk Liverpool, ia perlawanan wajib menang, bukan hanya untuk menyelamatkan musim mereka tetapi untuk berusaha menamatkan saingan di kelompok empat terbaik.

“Ia mungkin jurang terbesar yang kami lihat antara kedua-duanya, dua kelab terbaik di Eropah yang pernah kami lihat dalam beberapa musim kebelakangan ini.

“Perlawanan besar untuk Liverpool dan untuk mengubah musim mereka tetapi sukar untuk melihat City melepaskan peluang.”