Sadio Mane akan menyertai Bayern Munich dengan perjanjian bernilai €41 juta (RM188.9j) selepas Liverpool bersetuju untuk menjual pemain antarabangsa Senegal itu kepada jaguh Bundesliga berkenaan.

Mane menjadi sasaran utama pasukan kendalian Julian Nagelsmann itu malah tawaran awal ke atas penyerang berkenaan ditolak mentah-mentah Liverpool menjelang 12 bulan terakhir kontraknya.

Sebaik pengurus The Reds, Jurgen Klopp, membawa masuk bintang Benfica, Darwin Nunez, dengan bayaran yang dilaporkan mencecah £64j (RM344.3j) selain bonus £21.4j (RM115.1j), ia secara tidak langsung membuka luas pintu perpindahan buat Mane.

Malah, jurulatih Senegal, Aliou Cisse, menggalakkan Mane untuk menyertai Bayern sambil menganggap ia destinasi paling sesuai untuk kariernya, dan kedua-dua kelab itu akhirnya mencapai kesepakatan.





Stats Perform difahamkan Liverpool akan menerima €32j (RM147.4j), ditambah €6j (RM27.6j) berdasarkan penampilannya sementara €3j lagi (RM13.8j) bergantung kepada kejayaan masa depan yang dicapai oleh Mane dan Bayern.

Tawaran asal Bayern kepada naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu difahamkan berjumlah €25j (RM115.2j), belum termasuk €5j (RM23j) sebagai bayaran tambahan yang bergantung kepada prestasi pemain berkenaan dan Bayern.

Mane menyumbangkan 90 gol dalam 196 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama kelab dari Merseyside itu selepas berkelana daripada Southampton pada 2016.