LIVERPOOL 2 WATFORD 0

Jurgen Klopp sedar pasukannya harus mengekalkan momentum kemenangan bagi merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan liga ke-10 berturut-turut ketika menewaskan Watford, malam tadi.


The Reds sempat mendahului carta EPL buat seketika selepas kemenangan 2-0 di Anfield itu hasil tandukan Diogo Jota dalam separuh masa pertama disusuli jaringan lewat sepakan penalti daripada Fabinho.

Klopp mengakui bahawa sebarang persoalan mengenai mendahului Manchester City dengan dua mata akan terbatal sebaik mengetahui skuad kendalian Pep Guardiola itu sedang mendahului Burnley sebelum dia memulakan sidang media pasca perlawanan berkenaan.

Penyandang juara itu bakal menerima kunjungan Liverpool pada minggu depan selepas menang 2-0 di Turf Moor, sebentar tadi.

Klopp memberitahu wartawan: "Tidak, anda tidak boleh terlepas seinci pun tetapi ia tidak ada kaitan berada di puncak liga. Pada masa ini saya tidak memikirkannya. Saya hanya gembira untuk memenangi perlawanan ini untuk memungut 72 mata.

"Untuk kekal dalam perebutan gelaran, kami perlu memenangi perlawanan. Jika tidak, ia akan menjadi sangat sukar.

"Dan perlawanan EPL yang seterusnya jelas sekali adalah perlawanan getir (menentang City), kami tidak berselindung. Segalanya bagus. Tetapi kini kami mempunyai misi yang sama penting dalam Liga Juara-Juara (UCL). Kami ada masa tiga hari untuk membuat persiapan. Kemudian baru kami ke sana (Stadium Etihad)."




Liverpool tidak di tahap terbaik ketika menentang The Hornets tetapi masih mampu meraih tiga mata selain satu lagi rekod tanpa bolos. Ini bermakna buat kali kedua mereka merekodkan lima rentetan perlawanan liga tanpa ditembusi di bawah kendalian Klopp, sebelum ini mereka melakukannya pada Januari 2020 (terpanjang adalah tujuh kali berturut-turut).

Sebahagian daripada aksi cemerlang di barisan benteng hari ini ialah Joe Gomez yang hanya membuat permulaan liga keduanya musim ini dan Klopp gembira dengan kelibat pemain berusia 24 tahun itu ketika mengisi bek kanan.

“Dia melakukannya dengan sangat baik dan dia berpeluang mencipta gol kedua dalam separuh masa kedua, hantaran lintangnya juga luar biasa.

"Secara bertahan kami tidak perlu ulas lagi tetapi dalam soal serangan, ada detik yang benar-benar bagus dan sebaliknya memandangkan pasukan lawan terlalu bertahan.

"Bukan mudah untuk mencari kedudukan yang tepat pada saat-saat ini dan kami biasanya sedikit lebih fleksibel tetapi semuanya baik-baik saja.

"Joe merupakan seorang pemain bola sepak yang cemerlang dan dia akan beraksi banyak perlawanan sepanjang kariernya. 100 peratus dia pasti akan mengharungi banyak perlawanan di sini. Musim ini agak sukar buatnya setakat ini tetapi siapa tahu senario boleh berubah. Dia jelas sudah bersedia untuk menggunakan peluang itu untuk merebut tempatnya."