Jika berita dunia sukan semalam dipenuhi laporan tentang kekalahan memalukan Liverpool di tangan Real Madrid, majoriti berita hari ini berkisarkan sesuatu yang lebih menarik – punca-punca kelemahan Liverpool dan apa yang harus dilakukan untuk mengatasinya.

Sebelum analisis lebih mendalam dilakukan, wajarlah diimbas kembali perlawanan-perlawanan yang mendedahkan kepincangan The Reds sepanjang musim ini.

Ada waktunya Liverpool menyerlahkan semangat perjuangan yang mengagumkan dan gaya permainan yang mengimbau memori manis musim 2019-20, seperti sewaktu menewaskan Manchester City 1-0 dan membelasah Rangers 7-1 dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Namun, buat setiap kemenangan yang dikecapi, ada sekurang-kurangnya tiga kekalahan perit yang terpaksa ditanggung.

Bulan Ogos 2022 menyaksikan mereka tewas di tangan Manchester United yang baru sahaja memulakan proses kebangkitan, diikuti oleh kekalahan 1-0 di tangan Nottingham Forest (menurut laporan The Guardian, pemain-pemain Forest cuma sempat berlatih bersama buat pertama kali 15 minit sebelum perlawanan bermula).

Mereka turut kecundang kepada pasukan-pasukan yang jauh lebih kerdil seperti Brentford, Brighton dan Wolves serta gagal menumbangkan seteru ketat, Everton.

Kesemua keputusan ini menandakan wujudnya krisis dalam pasukan, namun diselindung sebaik-baiknya buat selama mungkin, sehinggalah Madrid merobek dan mendedahkan segala-galanya di hadapan ribuan penyokong Liverpool sendiri awal pagi kelmarin.





Pelbagai laporan Daily Mail hari ini menjurus kepada pandangan dan pendapat bekas pemain-pemain profesional tentang apa yang Liverpool hadapi kini.

Menurut bekas bek United, Rio Ferdinand, sewaktu dia masih berkecimpung, The Red Devils terpaksa melalui proses perubahan sebanyak empat kali demi memastikan pemain yang beraksi kekal relevan dan berguna, dan perkara itulah yang dilalui oleh Liverpool ketika ini.

Bekas pemain Liverpool pula, Mark Lawrenson, menjurus kepada barisan pertahanan dan menegaskan bahawa Virgil Van Dijk gagal mempamerkan kebolehan seperti musim-musim dahulu.

Jika pada suatu masa dahulu, pemain pasukan lawan akan berasa gerun untuk berhadapan satu lawan satu dengan Van Dijk, ini tidak lagi berlaku.

Van Dijk dilihat seringkali teragak-agak dalam membuat keputusan, lebih kerap berundur daripada melakukan terjahan penting lalu memberikan ruang untuk pihak lawan membolosi. Perkara ini disulitkan lagi oleh ketiadaan pasangan yang sama mantap untuk menyokongnya.

Ibrahima Konate merupakan pemain yang paling berkaliber di antara semua bek tengah lain yang ada tetapi dia dibelenggu masalah kecederaan yang seolah-olah tiada kesudahan.

Joe Gomez merupakan pemain yang menunjukkan aksi cukup memberangsangkan pada waktu-waktu tertentu tetapi persembahan yang buruk jauh lebih kerap dipertonton.

Joel Matip pula seharusnya menjadi pemain yang boleh diharapkan sebagai pengganti buat Van Dijk kerana mempunyai pengalaman luas tetapi aksinya juga tidak konsisten dan turut sama dibelenggu kecederaan yang berulang.



Bagi bekas bek Liverpool, Danny Murphy, sudah tiba masanya untuk pengurus, Jurgen Klopp, melakukan penjualan besar-besaran demi mewujudkan ruang untuk pemain-pemain baru dibawa masuk.

Pemain lain yang mungkin disasarkan untuk dijual adalah mereka yang beraksi di bahagian tengah.

Dalam kalangan pemain tengah yang cukup ramai untuk Liverpool ketika ini, mungkin cuma Jordan Henderson yang boleh dikatakan masih kekal konsisten dan memainkan peranan penting untuk pasukan.

Pemain-pemain muda seperti Stefan Bajcetic dan Harvey Elliott dilihat menunjukkan potensi besar dan mampu dipupuk untuk menjadi lebih baik dalam tahun-tahun mendatang, maka mereka wajar dikekalkan.

Namun, nama-nama seperti James Milner, Naby Keita dan Alex-Oxlade Chamberlain seharusnya sedar mereka cuma menjadi beban buat pasukan ketika ini dan masanya telah tiba untuk mereka angkat kaki.

Turut sama, seorang pemain yang dahulunya cukup utuh tetapi telah hilang auranya adalah pemain tengah bertahan, Fabinho.

Rombakan pemain merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan jika Liverpool ingin pulih seperti masa lalu, namun apa yang lebih penting lagi adalah menyelaraskan mentaliti pemain dan terlebih dahulu memulihkan semangat dan trauma yang melanda.

Ini merupakan satu tugas yang tidak asing buat Klopp -- perkara pertama yang dilakukannya sewaktu tiba di Merseyside lapan lalu tetapi cabaran yang menantinya kini dikatakan lebih getir lagi daripada dahulu.