Liverpool lebih berpeluang untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berbanding Liga Perdana Inggeris (EPL), kata bekas pemain pasukan itu, Jose Enrique.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu berada dalam kumpulan paling sukar dalam kempen Eropah kali ini apabila diletakkan bersama AC Milan, Porto dan Atletico Madrid bagi perebutan ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, The Reds setakat ini telah mengatasi Milan 3-2 dan membelasah Porto 5-1 -- kemenangan kelima daripada enam perlawanan terakhir peringkat kumpulan -- dan menduduki tangga teratas Kumpulan B menjelang dua pertemuan berturut-turut dengan skuad bimbingan Diego Simeone, Atletico.

Dalam pada itu, Liverpool juga merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam EPL musim ini dan telah menghimpunkan 15 mata daripada tujuh perlawanan pertama -- hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Namun, Jose Enrique, yang bercakap secara eksklusif kepada Stats Perform, melihat Liverpool lebih cenderung untuk memenangi gelaran UCL berbanding kejuaraan domestik berdasarkan kemerosotan prestasi yang sedang dilalui pasukan gergasi bola sepak Eropah ketika ini.



"Kami melakukan permulaan terbaik dalam pasukan paling sukar dalam UCL dan kami melakukannya dengan amat baik ketika ini.

"Kami memiliki segala-galanya dan di landasan yang tepat untuk melepasinya dan ia satu kejohanan yang mungkin kami lebih berpeluang.

"Paris Saint-Germain di bawah prestasi sebenar, Barcelona di bawah prestasi sebenar, Real Madrid di bawah prestasi sebenar, jadi ia mungkin satu musim untuk kami memenangi UCL sekali lagi.

"EPL lebih panjang, kami mempunyai banyak perlawanan. Dalam UCL, ia bergantung kepada masalah kecederaan.

"Jika anda tanya kepada saya gelaran apa yang kami boleh menangi, saya akan pilih UCL berbanding EPL," katanya.