Liverpool dilaporkan berharap untuk melengkapkan perpindahan pemain tengah Brighton & Hove Albion, Alexis Mac Allister, minggu hadapan.

Selepas gagal mendapatkan khidmat pemain yang bakal berkelana ke Real Madrid, Jude Bellingham, The Reds bertukar tumpuan kepada alternatif yang lebih murah berbanding pemain kebangsaan England yang bernilai GBP130 juta.

Pemenang Piala Dunia, Mac Allister, kini dilihat sebagai pemain dalam radar Liverpool, selepas membintangi kelab dan negara sepanjang musim 2022-23.

Selepas menjadi juara dunia dengan Argentina, pemain berusia 24 tahun itu menamatkan musim 2022-23 selaku penjaring terbanyak Brighton dengan 12 gol, 10 daripadanya terhasil menerusi saingan Liga Perdana Inggeris.

Ihsan usaha Mac Allister, skuad kendalian Roberto De Zerbi menamatkan saingan liga di tangga keenam untuk layak ke Liga Europa namun pengendali The Seagulls itu mengakui pada penghujung musim bahawa pemain kelahiran Argentina itu mungkin sudah beraksi dalam perlawanan terakhir untuk kelab.

Bayaran sebanyak GBP70 juta dijangka menjadi yuran perpindahan pemain tersebut, namun kelab Merseyside itu sepatutnya membayar kurang daripada nilai tersebut.

Seagulls membelanjakan hanya GBP6.9 juta untuk menandatangani Mac Allister pada Januari 2019, walaupun mereka meminjamkannya kembali kepada Argentinos Jrs sebelum tempoh enam bulan bersama Boca Juniors pada separuh pertama kempen 2019-20.