WATFORD 1 MANCHESTER CITY 3

Bernardo Silva tetap berwaspada dengan cabaran Liverpool dan Chelsea walaupun Manchester City melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membawa pulang mata penuh dari Watford menerusi kemenangan 3-1, awal pagi tadi.


Chelsea menguasai persada liga sebelum mengalami kekalahan 2-3 kepada West Ham untuk membenarkan Liverpool dan City mengatasi mereka.

Hanya dua mata memisahkan ketiga-tiga kelab berkenaan, sehubungan itu Silva enggan terbawa-bawa walaupun menunjukkan prestasi yang dominan yang menyaksikan juara bertahan tersebut menikmati 77.1 peratus penguasaan bola dengan mengatur 26 percubaan dengan 13 menuju ke sasaran -- terbanyak dalam mana-mana perlawanan musim ini.

"Satu persembahan separuh masa pertama yang sangat menarik," kata Silva kepada Sky Sports.

"Kami bermula dengan sangat baik, mencipta peluang dan tidak membenarkan mereka melancarkan serangan balas. Kami menjaringkan dua gol dalam babak pertama tetapi sepatutnya mencetak lebih banyak gol lagi.






"Ia sentiasa berasa lebih baik untuk berada di kedudukan teratas liga daripada kedua, ketiga atau keempat, tetapi ia masih awal. Saingan begitu sengit memandangkan Liverpool hanya satu mata di belakang kami sementara Chelsea dua mata di belakang kami.

"Liverpool dan Chelsea menempuhi musim yang menakjubkan. Sukar untuk kami bersaing antara satu sama lain. Kami tahu tahapnya sangat tinggi. Kami sedar betapa sukarnya untuk memenangi liga paling kompetitif di dunia ini. Kami akan pergi untuk mencuba yang terbaik, seperti yang selalu kami lakukan."

Selepas Raheem Sterling memecah kebuntuan seawal minit keempat, Silva meneruskan musim gemilangnya dengan menyumbangkan gol berganda untuk merekodkan tujuh jaringan.

"Saya kerap meledak gol musim ini dan saya mahu kekal sebgitu," katanya lagi.